Pantau agihan elak peruntukan projek 2023 tiris, kata kumpulan Bumiputera


Mohd Farhan Darwis

Belanjawan 2023 berjumlah RM372.3 bilion turut menyediakan RM500 juta untuk penyelenggaraan jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2022.

SEGALA insentif dan dana diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 untuk kumpulan Melayu dan Bumiputera perlu dipantau bagi mengelakkan ketirisan, kata kumpulan perniagaan komuniti itu.

Mereka menghargai bantuan yang diumumkan kerajaan namun bimbang tujuan dan matlamat program yang diumumkan tersebut akan gagal tanpa kawal selia dan pemantauan aktif.

Pada masa sama, kumpulan perniagaan ini juga melihat agihan peruntukan itu masih belum cukup dan tidak sepadan dengan komposisi kaum.

Selain memantau agihan projek dan peruntukan, kawalan antara lain perlu dibuat di peringkat pelaporan kemajuan, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Felo kanannya Ahmad Yazid Othman berkata kerajaan harus tegas dan jujur memberi bantuan atau peluang kepada usahawan yang memerlukan dan berkebolehan.

Kontraktor tersebut tidak boleh dipilih atas pertimbangan kepartian atau hubungan politik, tegasnya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

“Kalau tidak, agenda Bumiputera seperti sudah jatuh ditimpa tangga pula,” katanya yang mahu bantuan itu merapatkan jurang perbezaan antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Jelasnya, agensi yang menerima peruntukan mestilah melaporkan secara terperinci setiap insentif dan bantuan yang sudah diberikan, serta jumlah diagihkan mengikut kaum.

Tambah Ahmad Yazid, jumlah dilaporkan juga perlu meliputi baki peruntukan yang tidak digunakan.

“Ini mengurangkan gejala Ali Baba yang ketara dan memastikan mereka yang berwibawa sahaja yang diberi peluang,” katanya.

Sebagai langkah sokongan, agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan perlu menyokong dengan menggunakan perkhidmatan atau barangan yang dibiaya kerajaan.

“Ini akan menjadikan hasil bantuan kerajaan lebih mampan, dalam erti kata lain beli dan guna perkhidmatan Bumiputera dahulu untuk bantu mereka mendapat sedikit penguasaan pasaran yang masih dikuasai bukan Bumiputera,” tambahnya.

Belanjawan 2023 yang berjumlah RM372.3 bilion antara lain menyediakan RM3.7 bilion bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana di seluruh Malaysia.

Ia termasuk RM500 juta untuk kontraktor kelas G1 hingga G4 antaranya bagi penyelenggaraan jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Turut disediakan, pembiayaan jangka pendek RM20 juta kepada kontraktor Bumiputera terlibat dalam bidang elektrik dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE).

Sejumlah RM150 juta pinjaman mikro melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga pinjaman RM300 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) juga tersenarai.

Mengulas peruntukan besar itu, persatuan kontraktor Bumiputera berharap setiap projek yang dikeluarkan itu dipilih melalui undian bagi memastikan ketelusan pengagihan.

Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F (Perkobf) Tukiman Radion berkata, agensi terlibat juga perlu telus melaksana kesemua projek dan “tidak menyimpan” projek tertentu.

“Untuk kontraktor paling kecil G1, Bumiputera Kelas F, hanya dengan cabutan undi (dapat jamin ketelusan).

“Projek itu juga perlu dipastikan supaya semua projek yang diagihkan kepada jabatan, kementerian atau GLC benar-benar dikeluarkan untuk undian,” katanya.

Beliau menjelaskan kepada The Malaysian Insight, amalan menyimpan projek itu akan menutup rezeki kontraktor Bumiputera yang bergantung kepada kerja-kerja tersebut.

“Jangan ada projek disimpan. Contoh ada 100 projek, dikeluarkan undi cuma 30, baki 70 lagi disimpan. Itu juga boleh jadi ketirisan.

“Cukup jahat, ini adalah cara rezeki kami, kami tiada pendapatan lain hanya dengan projek kecil ini. (Pihak tidak bertanggungjawab) sentiasa cuba membolot projek kontraktor kecil-kecilan.”

Kegiatan membolot projek antara barah paling serius dalam aliran agihan projek, seperti yang terbongkar pada 2021, melibatkan 345 tender kerajaan berjumlah RM3.6 bilion.

Agensi antirasuah juga pada bulan lalu mendedahkan kegiatan kartel yang menjadikan Majlis Bandaraya Shah Alam lubuk membolot projek berjumlah sehingga RM400 juta.

Mengulas lanjut, Perkobf menggesa persatuan itu dilibatkan untuk membantu kerajaan memantau agihan projek bagi mengelakkan ketirisan dan salah guna kuasa berlaku sepanjang proses tersebut.

“Kami berharap kerajaan bantu kami untuk diagihkan projek secara undian dan pemantauan pihak atasan perlu.

“Jika boleh libatkan persatuan, berapa undian dibuat, maklumkan berapa bajet dan berapa banyak projek dikeluarkan.

“Apabila kita tahu, kita boleh buat pertanyaan kepada pihak atasan, adakah benar projek ini dikeluarkan sebanyak ini dan diundi sebanyak ini,” kata Tukiman.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Abdul Halim Husin juga menyambut baik bantuan diumumkan yang akan membantu kontraktor Melayu menghadapi kesukaran ekonomi.

“Bantuan ini amat bermakna kepada peniaga Melayu yang sedang tenat selepas modal mereka hilang ketika pandemik Covid-19.

“Dan dengan keadaan faedah bank yang menaikkan inflasi yang tinggi sekarang, bantuan ini akan diterima dengan baik oleh usahawan Melayu,” katanya.

Namun pada masa sama beliau mempersoalkan jumlah peruntukan untuk usahawan Melayu yang menurutnya tidak menggambarkan komposisi kaum penduduk.

Beliau melihat, agihan insentif tersebut lebih kecil berbanding insentif dan bantuan untuk usahawan dan peniaga dari komuniti Cina dan India.

“Kerajaan tidak menekankan pembangunan komuniti perniagaan Bumiputera malahan akses kewangan yang begitu besar kepada peniaga Cina akan menyebabkan jurang antara peniaga Cina dengan Bumiputera dan India akan jadi lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Abdul Halim membandingkan usahawan Melayu diperuntukkan sejumlah RM450 juta melalui BSN dan Tekun sedangkan penduduk Bumiputera berjumlah sekitar 70%.

Beliau melihat ia tidak sepadan dengan peruntukan pinjaman khusus kepada usahawan Cina yang bernilai RM200 juta, sedangkan warga Cina hanya berjumlah sekitar 20%.

Begitu juga bagi usahawan India yang menurutnya diberikan peruntukan RM125 juta melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (Spumi) bernilai RM25 juta.

Katanya, komuniti itu juga disediakan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bernilai RM200 juta sedangkan warga keturunan India hanya berjumlah sekitar 6%.

Tambah Abdul Halim, beliau mendapati usahawan Melayu sering kali ketinggalan berbanding usahawan kaum lain dalam mendapatkan geran atau bantuan kewangan terbuka berasaskan merit.

“Teraju mendapat RM135 juta dan PUNB mendapat RM200 juta tetapi jika dibandingkan dengan begitu banyak peruntukan yang terbuka kepada semua kaum, jumlah RM335 juta itu amat kecil.”

Peruntukan yang terbuka kepada semua kaum itu merujuk kepada dana RM45 bilion untuk peruntukan program Semarak Niaga 2023, meningkat RM5 bilion berbanding Belanjawan 2022.

Kementerian Kewangan menerima peruntukan paling besar, RM72.2 bilion, diikuti Kementerian Pendidikan RM55.6 bilion dan Kementerian Kesihatan berjumlah RM36.1 bilion.

Jumlah itu merangkumi kira-kira 44% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan.

Pembentangan Belanjawan 2023 dijangka menjadi bajet terakhir sebelum Parlimen dibubarkan untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan. – 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen