Pengundi Pandan teruja Rafizi kembali 


Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertanding di Pandan pada pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober 2022.

PENGUNDI di Hulu Langat, Selangor – sebahagian daripada kawasan Pandan – bersedia menyokong Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli jika beliau bertanding semula di kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ada yang mengatakan bahawa mereka akan mengundi Rafizi dengan “mata tertutup”, manakala yang lain berkata bekas ahli Parlimen Pandan itu akan menjadi satu-satunya pilihan mereka jika beliau bertanding.

Menurut Joe, 51, Rafizi akan menjadi calon terbaik untuk Pandan dan akan menang.

“Saya tidak fikir parti lain mempunyai seseorang yang boleh menentang Rafizi kerana beliau adalah antara yang terbaik.

“Kemunculan semula beliau dalam politik memberi cabaran kepada ramai pihak terutamanya bagi pihak lawan.

“Undi saya adalah untuknya, jika beliau bertanding,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Rafizi sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertanding di Pandan pada pilihan raya umum akan datang, yang pertama kali dimenanginya pada 2013 juga penampilan pertamanya di Parlimen.

Menurutnya, beliau telah menjelaskan perkara ini kepada pucuk pimpinan parti, yang masih belum memuktamadkan senarai calon untuk pilihan raya.

Rafizi baru-baru ini kembali ke pangkuan parti selepas cuti rehat.

Mohd Rashid, 54, yang menghadiri perhimpunan Ayuh Malaysia di Pandan bersama isterinya, berkata dia merindui Rafizi di kawasan itu dan berasa seronok apabila mengetahui hasrat timbalan presiden untuk bertanding di Pandan.

Beliau berkata Rafizi adalah seorang yang boleh menarik sokongan kepada PKR pada pilihan raya akan datang.

“Apabila Rafizi kembali ke parti itu, saya gembira melihatnya.

“Beliau mampu menarik undi untuk parti. Mereka memerlukan seseorang seperti beliau.

“Dan kami memerlukan seseorang yang berkaliber Rafizi di Parlimen supaya soalan boleh ditanya,” katanya.

Rata-rata pengundi di kawasan Pandan teruja dengan kembalinya Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli ke pangkuan parti dan mahukan beliau bertanding kembali di kawasan berkenaan.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Oktober, 2022.

Tanpa berpegang kepada penyandang Dr Wan Azizah Wan Ismail, Rashid berkata beliau memilih Rafizi kerana mempunyai daya tarikan yang lebih tinggi.

“Rafizi boleh menarik pengundi dengan karisma yang kuat. Beliau juga boleh memujuk mereka yang berada di atas pagar dengan ucapan faktanya.

“Parti itu memerlukannya jika mereka mahu memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Bagi Kannan, 61, Rafizi akan menjadi satu-satunya pemimpin pilihannya untuk kerusi itu jika beliau bertanding.

“Tanpa teragak-agak saya akan mengundi Rafizi.

“Beliau memenangi kerusi ini untuk PKR pada mulanya, jadi kami mahu beliau kembali ke sini. Beliau adalah salah seorang daripada kami,” kata ahli perniagaan itu.

Kannan juga percaya Rafizi antara mereka yang setia kepada parti, tidak seperti pendahulunya, Mohamed Azmin Ali.

Manakala bagi Troy, 43, beliau akan mengundi sesiapa sahaja daripada PKR atau Pakatan Harapan.

“Apa yang saya pasti, undi saya adalah untuk salah seorang daripada pemimpin PKR atau Pakatan Harapan.

“Boleh jadi Wan Azizah atau Rafizi atau sesiapa sahaja. Sama ada seorang mampu melakukan tugas dengan baik di mana sahaja mereka bertanding dan menang,” katanya.

Kerusi Pandan pertama kali dipertandingkan pada pilihan raya 2004, dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) Ong Tee Keat.

Bekas menteri pengangkutan itu memegang kerusi berkenaan pada 2008, dan Rafizi merangkul kerusi itu untuk PKR lima tahun kemudian.

Bagaimanapun, Rafizi tidak dapat mempertahankan kerusi itu pada 2018 berikutan rayuannya yang belum selesai terhadap hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2018 kerana membocorkan butiran perbankan milik National Feedlot Corp dan pengerusinya Mohamad Salleh Ismail.

Wan Azizah bertanding di kerusi itu pada 2018 dan menang menentang pesaing terdekatnya, Leong Kok Wee dari BN, dengan majoriti 52,543.

Pada November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen dengan berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asal seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 61 Akta Keterangan 1950. – 5 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen