Anwar mahu bertanding di kerusi pengkhianat


Elill Easwaran

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata beliau akan bertanding di kerusi pengkhianat sebagai mesej tindakan mereka meninggalkan parti tidak akan dimaafkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2022.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim berkata kemungkinan besar beliau akan bertanding di kerusi yang disandang pengkhianat pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Presiden PKR itu berkata kerusi Port Dickson beliau ketika ini lebih selamat berbanding 2008.

“Orang Melayu di kawasan itu mengalu-alukan jadi mungkin sudah tiba masanya untuk saya tengok kerusi yang dipegang oleh pengkhianat,” kata Anwar pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur di sebuah hotel malam ini.

Tambahnya pengkhianat perlu diberitahu yang rakyat tidak akan maafkan mereka.

“Perbuatan khianat adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Mereka bunuh harapan rakyat.”

Pada 2020 menyaksikan Barisan Nasional, Bersatu, PAS, dan puak yang diketuai timbalan presiden PKR ketika itu Mohamed Azmin Ali bergabung untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan, dalam usaha yang digelar sebagai Langkah Sheraton.

Berikutan itu Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan negara.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos tahun lepas, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama 10 ahli Parlimen partinya mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri. Beberapa hari kemudian, jumlah ahli Parlimen yang mengikut jejak langkah Ahmad Zahid itu meningkat kepada 15.

Suulan itu, naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi perdana menteri kesembilan negara. – 28 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen