Muhyiddin kritik Putrajaya lambat ambil saranan MPN


Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin mengkritik Putrajaya kerana lambat bertindak mengambil saranan daripada badan itu sebagai langkah memulihkan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin mengkritik Putrajaya kerana lambat bertindak mengambil saranan daripada badan itu sebagai langkah memulihkan ekonomi negara.

Bekas perdana menteri itu berkata MPN menghantar 95 saranan kepada Kabinet namun hanya 16 sahaja yang dilaksanakan manakala 69 lagi sedang dalam tindakan dan 14 usul masih belum ada sebarang maklum balas.

“Walaupun Kabinet meluluskan 95% daripada perakuan MPN tapi prestasinya tiak memuaskan.

“Saya bimbang segala kelewatan kerajaan dalam memacu pemulihan negara akan beri kesan buruk kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini. 

Tambahnya MPN juga kecewa kerajaan sampai hari ini tidak melaksanakan cadangan pemberian moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata cadangan moratorium itu dibawa ke Kabinet sejak empat bulan lepas namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berhubung perkara tersebut.

“Tapi sampai sekarang tak dilaksanakan lagi. Saya agak hairan kerana perakuan ini diangkat kepada jemaah menteri pada 18 Mei 2022 adakah Kabinet tak bincang perakuan penting dalam mesyuarat sudah lebih empat bulan.

“Atau adalah ia dibentang di Kabinet tapi tak dibincang secara perinci oleh Kabinet. Ini adalah satu yang agak mengecewakan MPN satu perakuan penting untuk bantu industri PMKS yang sumbang 37% kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) tak dapat perhatian segera oleh kerajaan. Ini tak dapat diterima.

Pada masa sama ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan sekali lagi peranan MPN sebagai badan nasihat yang tidak mempunyai kuasa bertindak.

Beliau berkata MPN dikritik oleh pihak tidak faham fungsi badan itu sedangkan tanggungjawab melaksana adalah diputuskan perdana menteri.

“Sebagai pengerusi MPN saya tidak punya kuasa untuk arah perdana menteri tapi majlis dianggotai oleh menteri-menteri kanan daripada Kabinet. Jadi ia tanggungjawab kerajaan untuk laksana.

“Saya tak berniat untuk tunding jari pada sesiapa pun, jawapan saya semua pihak perlu sedar negara kita menghadapi suasana ekonomi yang tidak baik pada masa ini walau terdapat petunjuk  positif tapi ia sementar sebelum berdepan dengan jangkaan kemelesatan ekonomi tahun depan,” katanya. – 27 September, 2022.   



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen