Kerajaan kena campur tangan kenaikan kadar OPR bank, kata majlis ekonomi


Bank Negara Malaysia menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50% pada awal bulan ini, kenaikan kali ketiga berturut-turut sejak Mei dan Julai lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2022.

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan campur tangan ke atas tindakan bank pusat menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dianggap badan itu membebankan rakyat.

Pengerusinya MTEM Abdul Halim Husin berkata kenaikan itu amat menjejaskan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) walau dinyatakan sebaliknya oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, MTEM maklum bahawa OPR perlu dinaikkan ke tahap sebelum pandemik namun rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kos operasi ditanggung PMKS.

“Kerajaan perlu melakukan tindakan intervensi yang lebih bermakna dan tidak hanya melepaskan BNM berbuat berdasarkan buku teks ekonomi neo-liberal, yang tidak berpijak pada bumi yang nyata,” katanya.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya melaksana dasar bagi meringan beban isi rumah dan PMKS memandangkan Malaysia antara negara dengan hutang isi rumah rumah tertinggi di Asean.majlis pemu

Oleh itu, MTEM menyokong cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberi moratorium tanpa faedah sekurang-kurangnya 2 bulan untuk setiap kenaikan 25 mata atas OPR.

Selain meringankan beban isi rumah dan PMKS, langkah itu juga akan memberi masa kepada golongan berkenaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.

MTEM juga melihat kewajaran mempertimbangkan kaedah menambat nilai ringgit bagi satu tempoh terhad untuk memudahkan urusniaga perniagaan kecil dan syarikat besar beroperasi.

Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada awal bulan ini.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu.

Kadar penanda aras pinjaman dan simpan meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Langkah BNM itu dipertahankan Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz yang menyatakan OPR masih rendah berbanding sebelum pandemik Covid-19. – 15 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen