Pandangan ahli politik mengenai MPN tidak penting, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Muhyiddin Yassin adalah pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang diwujudkan untuk membantu kerajaan menggerakkan usaha pemulihan pasca pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

MUHYIDDIN Yassin berkata pandangan ahli politik mengenai Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikannya tidak penting kerana baginya kritikan mereka lebih bermotifkan politik.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai keberkesanan badan berkenaan, yang dibentuk oleh kerajaan untuk memandu Malaysia keluar daripada kesan pandemik Covid-19.

“Saya serah kepada rakyat untuk menilai, kadang orang politik ini buat kenyataan sebab ada muslihat politik.

“Tapi terserah kepada rakyat sebab saya ada di sini untuk bantu negara,” katanya kepada media selepas program pelancaran Perikatan Nasional peringkat negeri Kelantan, Tanah Merah hari ini.

Dua hari lepas, Ahmad Zahid berkata MPN patut dibubarkan kerana tidak lagi berkesan dan diperlukan.

Presiden Umno juga berkata penubuhan MPN bercanggah dengan usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak kisah untuk melepaskan jawatannya dalam MPN kalau itu yang rakyat mahu.

“Kalau rakyat kata Muhyiddin berhentilah, saya berhenti. Lagipun saya duduk di sini kerana mahu menyumbang… pro bono. Saya tak minta gaji, saya buat dengan ikhlas dan tak ambil apa-apa bayaran,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan bahawa MPN ditubuhkan oleh kerajaan untuk menasihati kerajaan mengenai usaha-usaha pemulihan dan jalan keluar daripada pandemik.

MPN juga tidak mempunyai kuasa eksekutif baik di peringkat persekutuan, negeri mahupun agensi, katanya.

“Kalau kerajaan fikir cadangan kita baik dia akan buat, tetapi saya faham bahawa proses pemulihan tak mudah.

“Zahid sebagai presiden Umno boleh katalah… gagal dan sebagainya, macam dulu dia kata kerajaan gagal, hakikatnya kerajaan tidak gagal, rakyat boleh menilai,” tambahnya. – 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen