Syeikh Yusuf al-Qaradawi: Permata dunia Islam


Mohd Syazreen Abdullah

Ulama terkenal dunia yang juga pemimpin Ikhwanul Muslimin Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, 96, meninggal dunia petang semalam. – Gambar Facebook, 27 September, 2022.

SIAPA tidak kenal Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi? Ulama Rabbani yang tidak gentar dan tunduk sekali pun dengan kekuasaan rejim penguasa zalim. Pandangan beliau tajam dan luas. Walau di hujung usia, kecergasan pemikiran tidak pernah surut.

Suara beliau di mata dunia Islam dan barat tidak dapat disangkal lagi. Bukan sedikit jasa dalam isu kemanusiaan dan kebebasan. Akibat keberanian melawan ketidakadilan rejim, beliau ditangkap saat terjadi revolusi di Mesir pada 1956.

Demi perjuangan hak, keadilan dan kebebasan, beliau sanggup memilih geriji besi sebagai pilihan hidupnya berkali-kali. Akhirnya meninggalkan Mesir pada tahun 1961 menuju Qatar.

Semalam, lelaki kelahiran Shafth Turaab, Mesir pada 9 September 1926 meninggalkan kita buat selamanya menghadap pencipta Maha Agung tanggal 26 September 2022. Seluruh dunia Islam meratapi pemergian ulama Rabbani yang faqih dan tidak pernah berhenti mengabadikan hidup dengan ilmu serta dakwah Islam.

Beliau sudah tentu mahu melihat agama Islam dilihat indah dan maju. Tidak jumud dan mundur. Kerana itu beliau menjunjung nilai-nilai Islam moderat, kebebasan, kedamaian dan toleransi. Sudah pasti beliau menentang  cara beragama ala keganasan – tidak demokratik.

Pastinya, walau sebahagian kita mempunyai perbezaan pandangan dengan Syeikh Yusuf, hakikatnya jasa beliau tidak boleh diperkatakan.

 Banyak anak muda pejuang pembaharuan Islam pada hari ini terhutang budi dengan tulisan dan karya beliau. Bukunya membuka paradigma pemikiran dakwah Islam baru. Seruan dialog atau al-hiwar dan keterbukaan menjadi agenda utama prinsip dakwah.

Bacalah ratusan buku-bukunya sangat moderat, seperti kitab Thaqafatuna Baina al-Infitah wa al-Inghilap (Budaya ilmu kita, antara sikap terbuka dan tertutup).

Beliau sama sekali tidak bersetuju  melahirkan pemikiran pemuda Islam hari ini yang kalah dengan habuan duniawi dan berminda tertutup dengan menjadi pentaksub satu-satunya pandangan.

Kesederhanaan Islam

Tidak menghairankan beliau mengutamakan sikap keterbukaan dan kepedulian hujah serta dialog meskipun melintasi pemikiran arus dan gurunya sendiri. Lihatlah suasana ilmu di sekelilingnya semasa kecil. Mesir salah satu negara di Timur Tengah yang mempunyai kekayaan khazanah intelektual tradisi Islam.

Fakta ini tidak perlu disangkal lagi dengan lahirnya ramai pemikir umat di sana seperti Muhammad Abduh, Rashid Rida, al-Afghani, Muhammad al-Ghazali dan banyak lagi. Kerencaman ilmu dan mazhab telah melahirkan ramai pemikir Islam moderat.

Tidak terkecuali bagi Syeikh Yusuf. Pemikiran moderat beliau banyak dipengaruhi daripada guru yang berbeza aliran pemikiran. Banyak nilai-nilai manusiawi dan moderat yang beliau belajar daripada guru.

Contohnya, beliau terpengaruh khutbah-khutbah guru beliau iaitu Abd al-Mutallib al-Battah. Sang guru mengajarkan kandungan khutbah tentang penyakit umat Islam yang harus diselamatkan dengan nilai-nilai manusiawi seperti penipuan, khianat dan sikap derhaka pada kedua ibu bapa. Banyak lagi guru-guru yang mempengaruhi pemikiran beliau sama ada dari sudut tasawuf, sosial politik dan muamalat.

Selain pengaruh guru, beliau terdedah dengan suasana ilmu moderat yang mementingkan penghujahan kritis. Bukan taklid. Bahkan beliau sejak kecil berani dan kritis. Sejak menduduki kelas tingkat thanawiyah lagi beliau sudah berdebat ilmu dengan gurunya dan tidak mengikuti  hujah guru semata-mata. Beliau tidak taksub.

Pengajaran nilai moderat yang banyak beliau sumbang dalam pemikiran baru Islam atau tajdid dalam bahasa fikih dikenali sebagai Islam Wasatiyyah. Ajaran yang menekankan konsep fikihnya perimbangan antara tetap (thawabit) dan berubah (Mutaghayyirat) sehingga kepada kemaslahatan umum.

Kaedah ini dipraktikkan dalam suasana moden yang rencam melangkau agama, budaya dan bangsa. Maka itu pemikiran moderat ini beliau mampu menghujahkan kontekstual Islam ketika berhadapan dengan kelompok minoriti atau hubungan sosial bersama non-Muslim.

Buktinya karya fikih beliau tidak kaku dan jumud. Beliau berjaya merespons zaman dengan kefaqihannya.

Tidak pelik ulama besar seperti Syekh Muhammad Al-Ghazali menyebutkan bahawa Syeikh Yusuf adalah salah satu imam zaman kontemporari. Begitu juga komentar Dr Thaha Jabir Ulwani menyebut bahawa Syeikh Yusuf adalah fiqh para dai dan dai yang faqih. Jelas beliau contoh ulama moderat yang tidak mengabaikan usul agama dan mampu menjawab persoalan moden.

Buktinya beliau mampu menyatukan pandangan fikih dengan permasalahan semasa seperti masalah kemiskinan zakat, kelompok minoriti dari sudut fikah warganegara (al-Muwatanah), hukum-hukum bermain alat musik dan banyak lagi.

Beliau sangat kontekstual dalam memahami agama. Ijtihad beliau bersifat adil yang mengimbangi permasalahan keduniaan dan keagamaan.  Jambatan dalam keserabutan aneka pandangan. Kerana itu tulisan-tulisan beliau tidak pernah kering menolak aliran ghuluw atau pelampau ekstrimis agama.

Justeru, prinsip fiqihnya yang moderat dan melampau arus zaman moden sesekali tidak meruntuhkan prinsip usul dalam agama. Inilah kekuatan pemikiran al-Qaradawi yang tidak ada pada sebahagian ulama lain.

Sikap moderat beliau melahirkan pandangan fikah yang sangat toleransi dan moderat. Maka itu beliau berjaya meneliti kontekstual zaman dengan fikah dinamika kemajmukan dan kepelbagaian yang berasaskan kemaslahatan umat tidak kira agama dan bangsa.

Belajar dari Syeikh Yusuf

Maka asbab inilah pemikiran beliau banyak boleh dipelajari oleh gerakan pemikiran keagamaan pada hari ini khususnya gerakan pembaharuan Islam di Malaysia.

Sikap kritis dan kefahaman moderat dianjurkan beliau bukan sahaja menyuruh kita tidak menjadi pentaksub seorang susuk dan pemikiran beliau semata-mata, tetapi disuruh menghayati dan melaksanakan nilai-nilai progresif serta mencari rentak kontekstual keagamaan kita di Malaysia.

Justeru bukan sebulat-bulatnya mengambil sumbangan pemikiran tetapi beliau mengajar pemikir dan penggerak Islam hari ini bersikap moderat, kritis, mandiri dan kontekstual.

 Tidak bermanja-manja dan mengada-ngada menunggang susuk tokoh agama sebagai tunggangan kepentingan perjalanan politik dan kekuasaan. Lebih teruk merengek mengadu masalah agama di Malaysia kepada susuk tokoh ulama.

Sepatutnya, kembangkan pemikiran kritis susuk seperti al-Qaradawi ini dengan sebaiknya. Bukan sekadar berceramah tidak serupa bikin tetapi benar-benar ikhlas berusaha menurunkan nilai-nilai progresif dalam masyarakat kontemporari hari ini.

Sedarlah, mutakhir abad 20, para pemikir pembaharu Islam tidak akan lahir tanpa membaca karya Syeikh Yusuf. Tanpa ada upaya tajdid dan moderat, sesungguhnya kita tidak akan menemui dan menyentuh persoalan-persoalan baru dalam Islam. Pembaharuan yang dilakukan tidak sesekali meruntuhkan thawabit (dasar islam).

Jasa beliau terhadap pembaharuan Islam tidak boleh dibayangkan. Syeikh Yusuf memilih hayatnya dengan perjuangan ilmu demi memartabatkan syiar Islam harmonis dan sejagat.

Idea pembaharuannya itu yang dikenali wasatiyyah melewati budaya, agama dan bangsa adalah lambang betapa beliau benar-benar cintakan agama Islam yang indah dan harmoni sekali gus fatwa fekah beliau penuh dengan prinsip nilai keadilan, kesamarataan dan kemanusiaan.

Beliau meninggalkan kita dengan ajaran Islam jalan tengah yang menjauhi sikap melampau batas dalam beragama.

Demikian, al-Qaradawi contoh permata Islam yang mengajar kita betapa hidup ini harus memikirkan tentang kemaslahatan umat baik di timur, barat, utara dan selatan!  – 27 September, 2022.     

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen