Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia


Ulama terkenal dunia Sheikh Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia petang tadi dalam usia 96 tahun. – Gambar Facebook, 26 September, 2022.

SHEIKH Yusuf Al-Qaradawi, ulama terkenal dunia yang juga pemimpin Ikhwanul Muslimin, meninggal dunia hari ini, menurut hebahan di akaun media sosial rasminya.

Umurnya 96 tahun.

“Telah kembali ke rahmatullah, junjungan besar Imam Yusuf al-Qaradawi, semoga Allah merahmati beliau, yang menyerahkan nyawanya menjelaskan ketentuan Islam, dan membela umatnya.

“Beliau meninggal dunia petang tadi, dan tarikh pengebumian serta tempat pengebumian akan diumumkan kemudian,” kata kenyataan yang dihebahkan melalui akaun Facebook rasminya. 

Yusuf, yang berasal dari Mesir, merupakan cendekiawan Muslim yang dianggap antara mujtahid unggul pada era moden ini.

Beliau juga antara tokoh yang lantang mengkritik kepimpinan Presiden Abdel Fatah al-Sisi, yang menggulingkan bekas presiden Mohamed Morsi yang memerintah selepas kebangkitan rakyat di seluruh rantau Arab pada awal 2011.

Morsi adalah anggota Ikhwanul Muslimin sebelum jadi presiden dan kemudian mendapat dukungan gerakan yang diasaskan tokoh Islam terkenal Hassan al-Bana pada 1928.

Ekoran kritikan lantangnya ke atas kerajaan, Yusuf hidup dalam buangan sejak kepimpinan Morsi diguling.

Beliau sebelum itu juga duduk di luar Mesir sehinggalah kebangkitan rakyat menjatuhkan bekas presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari 2011.

Atas penglibatan dan pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam gerakan rakyat di Mesir, Yusuf dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati selepas dibicarakan tanpa hadir.

Pengaruh beliau meluas ke serata dunia termasuk di rantau Nusantara ini.

Pada 2009, Malaysia menamakan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Dalam ucapan penerimaan anugerah, Yusuf berkata beliau mengagumi kebangkitan Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang menjadi kebanggaan dunia. – 26 September, 2022.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen