38 pekerja kilang cedera bas jatuh gaung di Melaka


SERAMAI 38 pekerja kilang di Batu Berendam, Melaka berdepan detik cemas selepas bas dinaiki mereka menggelungsur ke bawah tebing dalam satu kejadian di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain, berkata 13 mangsa termasuk pemandu yang cedera agak parah dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan manakala bakinya dihantar ke klinik berdekatan.

Katanya, mangsa membabitkan warga Nepal dan Myanmar manakala pemandu pula rakyat tempatan, berusia antara 20-an dan 30-an.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.57 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Siasatan awal mendapati bas berkenaan baru tiba di asrama pekerja sebelum kenderaan itu menggelungsur sejauh 150 meter ke bawah tebing berketinggian kira-kira 50 meter dari jalan raya, dipercayai akibat kegagalan brek.

“Bas itu kemudiannya tersangkut di pokok di bawah tebing berkenaan dan mangsa dikeluarkan menerusi tingkap kenderaan yang pecah oleh orang awam dan pegawai serta anggota bomba,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

“Seramai 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Jasin Bistari dan Alor Gajah terbabit dalam operasi menyelamat yang memakan masa selama 45 minit,” katanya. – Bernama, 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen