KKM tidak boleh dedah keadaan kesihatan Najib


Raevathi Supramaniam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM tidak boleh sewenang-wenangnya mendedahkan keadaan pesakit melainkan diminta oleh mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak boleh mendedahkan keadaan kesihatan bekas perdana menteri Najib Razak melainkan diminta oleh mahkamah, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata kementerian terikat dengan kerahsiaan doktor-pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan telah dijalankan oleh pihak KKM dan laporan perubatan akan dikemukakan kepada mahkamah (atas perintah mahkamah), namun pada masa yang sama KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada Mahkamah (sekiranya diarahkan Mahkamah),” kata Noor Hisham dalam catatan Facebook hari ini.

Semalam, Jabatan Penjara mengesahkan Najib dimasukkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan.

Jabatan itu berkata Najib dirujuk ke HRC selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 12 September lalu.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Najib dipindahkan ke HRC kerana memerlukan fisioterapi. – 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen