Penjara sahkan Najib dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras


Najib Razak menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 23 Ogos selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berhubung kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

JABATAN Penjara Malaysia mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) dan akan dihantar semula ke Penjara Kajang selepas selesai rawatannya.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Penjara memaklumkan Najib dihantar ke HRC atas rujukan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa kesihatannya selepas dibawa kepada mereka pada 12 September.

“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Dato’ Sri Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.

“Dato’ Sri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan Jabatan Penjara ini dikeluarkan tiga hari selepas tersebar dakwaan di media sosial bahawa Najib, yang diberi nama kod “Merpati”, mendapat layanan istimewa.

Namun kenyataan Jabatan Penjara tidak menyentuh beberapa dakwaan lain dalam sebaran yang sama, antaranya cadangan ubah suai ruang penjara untuk Najib.

Jabatan Penjara bagaimanapun mengingatkan, selain melaksanakan hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah, mereka juga bertanggungjawab memastikan kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.

Ini termasuk menyediakan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan mengikut syor pegawai perubatan kerajaan, kata kenyataan itu lagi. 

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 23 Ogos selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berhubung kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib dimasukkan ke hospital beberapa hari kemudian. Dia dikatakan mempunyai masalah ulser pada perut dan darah tinggi.

Jabatan Penjara juga memaklumkan Najib dihantar ke HKL untuk rawatan, yang seterusnya merujuk beliau ke HRC, mengikut Seksyen 37 Akta Penjara serta piawaian minimum layanan kepada banduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Najib seolah-olah ada akses bebas kepada dunia luar berdasarkan tulisan di akaun media sosial miliknya, yang juga seolah-olah membenarkan dakwaan layanan istimewa kepada bekas perdana menteri di penjara.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar juga semalam meminta kerajaan menjelaskan dakwaan layanan istimewa seperti yang tersebar di media sosial sejak awal minggu ini.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pula menyifatkan dakwaan yang tersebar itu serius dan wajar ada penjelasan segera.

Hari ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menyuarakan rasa hairan atas kelewatan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara

“Mana pasukan tindak pantas Kementerian Dalam Negeri kepada hantaran ‘Merpati’ atau adakah dakwaan pada hantaran ‘Merpati’ itu betul?” tanyanya.

Veteran DAP itu juga membandingkan jawapan pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai mesej tular berkenaan kompaun semasa perintah kawalan pergerakan pada 17 Mei tahun lepas. – 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen