Najib dipindah ke HRC untuk fisioterapi, kata Khairy 


Noel Achariam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut menafikan dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak diberi layanan istimewa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kerana memerlukan fisioterapi, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan itu juga menolak dakwaan bahawa Najib diberi layanan istimewa.

“Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

“Susulan itu, beliau dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan untuk keadaan kesihatannya dan menjalani beberapa ujian,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata selepas diperiksa di HKL dia dirujuk ke HRC kerana rawatan susulan memerlukan fisioterapi.

“Dan selain daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya cara melakukannya sendiri, kerana beliau akan discaj sebaik sahaja pakar berpuas hati bahawa beliau tidak perlu lagi dimasukkan ke hospital,” katanya.

Terdahulu hari ini, Jabatan Penjara mengesahkan Najib dimasukkan ke HRC untuk rawatan.

“Dato’ Sri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata kenyataan itu.

Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, yang mana layanan sama juga diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.

Beliau juga menambah bahawa HKL telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terhadap tweet yang didakwa oleh salah seorang doktornya yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenai ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 13 September, Hakim Collin Lawrence Sequerah telah menangguhkan perbicaraan Najib dalam perbicaraan 1Malaysia Development kerana tertuduh dimasukkan ke HKL. – 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen