Bersih persoal penangguhan pindaan perlembagaan antilompat parti


Ravin Palanisamy

PINDAAN perlembagaan bagi melarang ahli Parlimen lompat parti perlu dikuatkuasakan secepat mungkin, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, yang juga dikenali sebagai Bersih. 

Kumpulan pemerhati pilihan raya itu mempersoalkan penangguhan walaupun pindaan itu telah diwartakan awal bulan ini dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan ia berkemungkinan dikuatkuasakan pada pertengahan September.

“Bersih menggesa perdana menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan Pindaan Perlembagaan Antilompat Parti tanpa sebarang penangguhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

“Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi telah mengumumkan ia akan dikuat kuasa paling awal pertengahan September.

“Bagaimanapun, baru-baru ini diumumkan bahawa tarikh untuk ia berkuat kuasa akan diumumkan kemudian oleh YDPA. 

“Bersih tertanya-tanya mengapa penguatkuasaan pindaan ini ditangguhkan. Ia diluluskan sebulat suara oleh Parlimen,” tambahnya. 

Pada Julai 2019, 209 ahli Parlimen di Dewan Rakyat menyokong rang undang-undang itu dengan 11 tidak hadir. Tiada ahli Parlimen membantah. 

Kemudian, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai antilompat parti oleh ahli Parlimen dengan majoriti lebih dua pertiga, selepas mendapat sokongan 52 daripada 60 senator dalam dua pusingan pengundian blok.

Bersih berkata ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir, adalah mustahak undang-undang dikuatkuasakan supaya pengundi boleh mengundi dengan tenang bahawa pilihan mereka tidak akan terbatal akibat pembelotan selepas pilihan raya oleh ahli Parlimen yang dipilih.

Di bawah pindaan ini, sekiranya mana-mana ahli Parlimen bertukar parti, kerusi Parlimen mereka akan dikosongkan secara automatik dan pilihan raya kecil akan diadakan melainkan kurang daripada 2 tahun sebelum penggal Parlimen berakhir, maka tiada pilihan raya kecil akan dipanggil untuk mengisi kekosongan itu. 

Bersih berkata jika wujud kebimbangan berhubung penerimaan undang-undang ini di peringkat negeri, yang memerlukan perkenan raja atau Yang di-Pertua Negeri setiap negeri, maka ia mencadangkan untuk keseluruhan pindaan kecuali sebahagian yang berkaitan dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan untuk mula berkuat kuasa dahulu.

“Ini jelas dibenarkan di bawah Seksyen 1(2) dan (3) pindaan ini.
 
“Tiada sebab untuk menangguhkan penguatkuasaan konsensus nasional, yang telah ditunjukkan dalam pengundian parlimen, di peringkat persekutuan,” katanya.

Bersih berharap pindaan undang-undang itu akan menggalakkan peratusan keluar mengundi yang baik, yang dikatakan penting dalam demokrasi bagi mana-mana kerajaan yang dipilih untuk mempunyai mandat kuat dan sah untuk mentadbir untuk lima tahun akan datang. – 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen