Azalina kemuka usul pinda Perlembagaan berkait kerakyatan anak lahir luar negara


AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said memohon usul tersebut dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung bermula 3 Oktober hingga 29 November ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said telah mengemukakan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kerakyatan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. 

Laporan Free Malaysia Today (FMT) menyebut usul dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Nydin Bacha Mydin pada 15 September lalu.

Azalina memohon usul tersebut dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung bermula 3 Oktober hingga 29 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial itu dipetik FMT berkata, usul dikemukakan bagi meminda Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan – (c) dalam Fasal (1)(b) dan (d) dalam Fasal (1)(c), dengan memasukkan perkataan “atau ibunya” selepas perkataan “bapanya”.

Menurut Azalina, subfasal 2(a) dan 2(b) bertujuan memasukkan perkataan “atau ibunya” untuk melanjutkan kewarganegaraan bagi orang yang lahir pada atau selepas hari Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September tahun lepas memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Responden dalam kes itu adalah enam ibu warganegara Malaysia dan kumpulan hak keluarga Family Frontiers.

Bagaimanapun pada Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang. 

Panel tiga hakim yang diketuai Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021.

Hakim Kamaludin ketika membacakan keputusan itu berkata perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu atau ibu bapa.

Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Kamaludin berkata perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu atau ibu bapa.

Sebaliknya Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk membenarkan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan melalui peruntukan undang-undang di bawah Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) hendaklah merangkumi ibu.

Hakim Kamaludin bagaimanapun berkata perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) dan peruntukan berkaitan dengannya dalam Jadual Kedua adalah jelas dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ‘ibu’.

“Hanya Parlimen yang boleh meminda Perlembagaan, bukan mahkamah, untuk meminda perlembagaan. Mahkamah tidak boleh sesuka hati mengubah Perlembagaan.

“Oleh itu, rayuan kerajaan dibenarkan tanpa perintah mengenai kos manakala keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya dipetik Bernama. – 19 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen