Muda sedia bertanding kubu kuat Umno-PAS-Bersatu


Elill Easwaran

Ketua Penerangan Muda Luqman Long berkata partinya bersedia sahut cabaran untuk bertanding di 15 kerusi yang dikuasai Umno-BN dan Perikatan Nasional dalam PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

MUDA bersedia menyahut cabaran untuk bertanding di kerusi kubu kuat Umno, PAS dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata ketua penerangan parti Luqman Long.

Luqman memberitahu The Malaysian Insight Muda menyasarkan 15 kerusi yang sebelum ini dimenangi Umno-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi mengangkat suara rakyat di peringkat penggubalan dasar, Muda bersedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya.

Minggu lepas, dua pemimpin bahagian PKR Selangor mencabar Muda bertanding di kubu kuat Umno dan PAS pada PRU15 bagi membuktikan ia ikhlas mahu menyertai Pakatan Harapan (PH).

Mereka tidak mahu Muda mempergunakan PH dan cuma bertanding di kerusi selamat.

Luqman bagaimanapun berkata setiap kerusi yang akan ditandingi Muda akan dimuktamadkan selepas berunding dengan pucuk pimpinan PH.

“Paling penting, blok pembangkang perlu pastikan tidak timbul isu pertindihan kerusi dan sama-sama fokus melawan Umno-BN dan PN.

Katanya segala persiapan pemilihan Muda bermula seawal penubuhan parti berasaskan belia itu.

“Pastinya pengalaman pilihan raya Johor telah membantu Muda membuat persediaan lebih rapi dari segi kekuatan jentera, calon dan dasar yang boleh dibangkitkan untuk rakyat.

“Pemimpin Muda peringkat kebangsaan dan negeri juga telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan bagi menghadapi cabaran dalam PRU15 akan datang,” kata Luqman.

Pada pilihan raya Johor, Muda menang satu kerusi dalam percubaan pertama parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya sejak ditubuhkan.

Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz menang di Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertembungan enam penjuru. Kemenangan tunggal parti itu daripada tujuh kerusi yang ditandingi dilihat sebagai langkah pertama Muda untuk bertapak dalam landskap politik negara.

Ketika ditanya sama ada Muda mampu mengharungi PRU15 tanpa menyertai PH, beliau berkata fokus parti itu sehingga hari ini ialah perbincangan untuk menyertai PH.

“Penyertaan Muda bukan sahaja mengenai kekuatan parti ini untuk meraih undi rakyat, tetapi ia bagi memastikan blok pembangkang dapat bergerak bersama sebagai sebuah pakatan,” kata Luqman.

“Usaha ini bagi memastikan blok pembangkang dapat menawarkan pasukan yang boleh mentadbir negara selepas PRU15.”

Minggu lepas, anggota pemuda PKR memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak berminat untuk bekerjasama dengan Muda di bawah panji PH pada PRU15 akan datang.

Mereka berkata tindakan Muda bertanding menentang PKR pada pilihan raya Johor baru-baru ini masih memberi kesan, lebih-lebih lagi apabila parti itu bertanding di DUN Larkin sehingga PKR kalah di situ.

Timbalan presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz menjawab dengan berkata parti itu bersedia untuk bertemu PH untuk menjawab semua kebimbangan.

“Saya dan pimpinan Muda bersedia untuk adakan pertemuan rasmi bersama Pakatan Harapan untuk kita leraikan setiap hal bersama-sama.

“Usaha saya dan rakan-rakan Muda adalah untuk memastikan apabila masuk ke dalam pilihanraya - rakyat jelas dan faham tawaran dari Pembangkang,” katanya.

Sementara itu Presiden PKR dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata PH akan membincangkan penyertaan Muda dalam gabungan itu secepat mungkin. – 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen