Pakatan bincang permohonan Muda secepat mungkin, kata Anwar 


Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim ketika berucap pada satu program yang diadakan di Petaling Jaya, malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 September, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan mengenai penyertaan Muda dalam gabungan itu secepat mungkin, kata pengerusi gabungan itu Anwar Ibrahim.

“Kami masih belum membincangkan perkara ini tetapi kami akan menyelesaikannya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita semasa majlis Pentas Angkatan Muda di Taman Medan.

Pada Selasa, presiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda berminat untuk menyertai PH.

Mengenai peruntukan kerusi untuk gabungan itu, beliau berkata perbincangan mengenainya akan diadakan tidak lama lagi.

“Semuanya berlaku terlalu pantas,” katanya ringkas.

Menurutnya beliau dan rakan-rakan pemimpin telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan rakan seangkatan mereka dalam pakatan pembangkang.

“Perbincangan tidak rasmi telah dijalankan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke, serta presiden Amanah (Mohamad Sabu),” kata Syed Saddiq dalam satu majlis di ibu negara.

Ahli Parlimen Muar itu menambah, parti itu menyasarkan tidak lebih daripada 15 kerusi pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun pada Rabu, Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata majlis itu lebih tertumpu kepada rundingan kerusi sebagai persediaan menghadapi PRU15.

“Kami masih belum bercakap mengenai mana-mana parti lain yang menyertai Harapan. Saya hanya mengetahui permohonan Muda untuk menyertai kami melalui media,” katanya.– 10 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen