Pemuda PKR tolak kerjasama dengan Muda susulan insiden Larkin


Elill Easwaran

ANGGOTA pemuda PKR tidak berminat untuk bekerjasama dengan Muda di bawah panji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) akan datang.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight tindakan Muda bertanding menentang PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini masih memberi kesan, lebih-lebih lagi apabila parti itu bertanding di DUN Larkin sehingga PKR kalah di situ.

“Sebelum bekerjasama dengan Muda, kita perlu tengok sentimen akar umbi,” kata Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata tindakan Muda semasa PRN Johor masih bermain dalam ingatan ahli PKR.

“Itulah yang merumitkan keputusan itu. Dari segi ini, ada pengalaman baik dan buruk bekerja bersama Muda.

“Tetapi perlu beri masa bagi akar umbi dan parti lain (dalam PH) untuk buat keputusan sebab bila PRU15 nanti, kita mahu bekerja di peringkat akar umbi,” katanya.

Awal minggu ini, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu berhajat untuk menyertai PH.

Beliau berkata pihaknya telah berbincang secara tidak rasmi dengan pemimpin kanan PH berhubung perkara tersebut.

“Rundingan awal untuk Muda sertai PH telah dibuat, malah kami juga terbuka untuk buat perbincangan rasmi dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

Parti itu pernah bekerjasama dengan parti PH, setelah mencapai persetujuan dengan DAP dan Amanah untuk bekerjasama pada PRN Johor.

Muda bertanding di tujuh kerusi dalam PRN Johor tetapi bertembung dengan PKR di DUN Larkin kerana yakin dapat menang di situ. Bagaimanapun Larkin kemudiannya dimenangi Mohd Hairi Mad Shah dari Umno.

Muda bertanding di tujuh kerusi dalam PRN Johor tetapi bertembung dengan PKR di DUN Larkin kerana yakin dapat menang di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2022.

Muda terkenal sebab tidak konsisten

Sementara itu pengarah strategi Pemuda PKR Bryan Ng Yih Miin berkata pihaknya ada alasan kukuh untuk menolak kerjasama dengan Muda.

“Mereka pernah keluar beberapa kenyataan yang mereka mahu bertanding di kerusi seperti Petaling Jaya yang dipegang PKR. Mereka juga sangat mendesak sehingga membangkitkan perkara-perkara itu ke media.

“Mesti ada perbincangan tertutup mengenai perkara seperti ini dan tidak secara terbuka dimaklumkan di Twitter. Mereka tidak matang apabila melibatkan perkara seperti ini,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada insiden Larkin sebagai punca utama untuk tidak bekerjasama dengan Muda.

“Di Larkin, mereka lawan PKR. Kerusi itu, sebelum pencalonan, telah dipersetujui untuk PKR tetapi kemudian mereka tiba-tiba buat keputusan sendiri untuk lawan kami.

“Anda tidak boleh buat keputusan sepihak dan beritahu satu dunia tanpa berunding dengan kami kalau mahu bekerjasama,” kata Ng yang juga Ketua Pemuda PKR Petaling Jaya.

Sementara itu, anggota pemuda PKR Sungai Buloh, Wan Raimy, 33, berkata beliau lebih suka jika Muda tidak sertai PH.

“Mereka tidak konsisten sama sekali. Semasa PRN Melaka mereka gelar PH sebagai ‘katak’, kemudian di Johor mereka mahu bekerjasama tetapi masih mahu lawan kami di Larkin,” katanya.

Menurut Pemuda PKR, mereka mempunyai alasan kukuh untuk menolak kerjasama dengan Muda.Muda bertanding di tujuh kerusi dalam PRN Johor tetapi bertembung dengan PKR di DUN Larkin kerana yakin dapat menang di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2022.

Beliau juga berkata, Muda setakat ini gagal menunjukkan ia boleh menarik sokongan pengundi muda.

“Belia yang Muda minat kebanyakannya golongan atasan T20.

“Tambahan pula majoriti besar mereka tidak bercakap dalam bahasa kebangsaan, jadi bagaimana kita boleh harapkan mereka tolong kita berkempen di kawasan luar bandar,” kata Wan Raimy yang telah menjadi ahli PKR sejak 10 tahun lepas.

Seorang lagi ahli PKR Khairil Arif, 28, berkata terdapat beberapa bekas ahli PKR yang kini bersama Muda dan beliau tidak akan menerima mereka.

“Ini sebab tiada jaminan yang mereka akan kekal di bawah PH jika berlaku sesuatu.”

Bagaimanapun, katanya untuk menumpaskan Umno pada PRU15, mereka tiada pilihan selain bekerjasama.

“Selagi mereka masuk dengan niat untuk mengalahkan Umno dan bukan untuk tikam belakang kami, kita akan bekerjasama.”

Pada Jumaat, Presiden PKR dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata PH akan bincang permintaan Muda untuk menyertai gabungan pembangkang secepat mungkin. – 11 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen