Muda mahu sertai Pakatan, kata Syed Saddiq


PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berminat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden Muda itu berkata pihaknya telah berbincang secara tidak rasmi dengan pemimpin kanan PH berhubung perkara tersebut.

“Rundingan awal untuk Muda sertai PH telah dibuat, malah kami juga terbuka untuk buat perbincangan rasmi dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Muda sanggup bekerjasama dengan ‘rakan’ yang berkongsi prinsip perjuangan yang sama,” kata Syed Saddiq pada sidang media hari ini.

Terdahulu ahli Parlimen Muar itu memberi ucaptama pada persidangan tertutup dua hari Muda mengenai pilihan raya yang berakhir hari ini.

Parti itu pernah bekerjasama dengan PH, malah pada pilihan raya negeri Johor setiausaha agung Muda ketika itu Amira Aisya Abd Aziz menang di Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Beliau mengalahkan Ng Yew Aik dari Barisan Nasional, calon Pejuang Dr Khairil Anwar Razali, wakil Perikatan Nasional Loh Kah Yong, Steven Choong Shiau Yoon dari Parti Bangsa Malaysia dan calon Bebas Adzrin Adam.

Kerusi itu antara tujuh kerusi yang telah diberikan kepada Muda selepas mencapai persetujuan dengan PH.

Selain kerusi Syed Saddiq di Muar, parti itu turut mengintai 15 kerusi Parlimen lain.

Amira berkata ia termasuk kerusi di Sabah dan Sarawak. – 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen