Umno, PAS, Bersatu perlu bergabung lawan Pakatan, kata Musa Hitam


Mohd Farhan Darwis

Bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam melihat banyak ideologi parti yang wujud dalam negara pada masa ini tidak jelas dan bercampur aduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 September, 2022.

UMNO, PAS dan Bersatu perlu bergabung memandangkan ketiga-tiga parti itu berkongsi ideologi Melayu dan Islam, kata bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam.

Beliau menyarankan ketiga-tiga parti itu bertindak demikian kerana banyak parti berasaskan Melayu muncul menjelang pilihan raya umum kali ini.

Jelasnya, ia akan membolehkan parti berkenaan berdepan lawan dari PH seperti PKR dan DAP yang mempunyai nilai dan daya penarik lebih besar iaitu tawaran ideologi rentas kaum dan agama.

“Kalaulah boleh idealnya mereka bersama. Kumpulan yang menggelarkan diri mereka parti mempromosikan kepentingan Melayu dan Islam, itu secara prinsipnya,” katanya.

Pada masa sama, gabungan Umno, PAS dan Bersatu ini perlu memberi jaminan kepada bangsa dan agama lain bahawa hak dan kebebasan mereka akan diterima.

“Ini kerana yang menghadap (lawan) kumpulan ini juga masih ada PKR terdiri dari parti yang percaya kepelbagaian kaum.

“Ada daya penarik kepada mereka, bukan sahaja di kalangan bukan Melayu ada muda-mudi Melayu turut tertarik kepada kumpulan ini,” kata Musa dalam satu forum di Ampang, Selangor petang ini.

Dalam perbincangan itu, Musa berkata, banyak parti politik berasaskan Melayu dan Islam pada waktu ini sebenarnya berkongsi ideologi serupa dan tiada banyak perbezaan antara satu sama lain.

“Pada Umno kata dia parti Melayu dan agama Islam, PAS kata perkara sama. Siapa juga nak minta sokongan Melayu dia kata parti dia parti Melayu dan Islam.

“Dari segi perbezaan tidak ada antara PAS dengan Umno, ada (parti) baharu seperti Bersatu juga (bawa ideologi) Melayu dan Islam, ideologi masing-masing bunyi macam sama,” katanya.

Penyatuan itu akan membolehkan negara mempunyai sistem dua parti seperti diamalkan negara lain, katanya dalam perbincangan dengan tajuk “Membina Penyatuan dan Menyuburkan Integriti”.

Selain itu, parti berteraskan Melayu dan Islam itu perlu memperluas ideologi mereka supaya mampu menarik pelbagai kumpulan pengundi dan bukan dari satu kelompok sahaja.

Katanya, beliau melihat banyak ideologi parti yang wujud dalam negara pada masa ini tidak jelas dan bercampur aduk.

“Pada saya, bagi yang menganggap dirinya parti politik yang mewakili Melayu dan Islam mereka harus memperluaskan ideologinya untuk diterima oleh masyarakat Malaysia,” katanya.

Program di Ampang itu anjuran Persatuan Anak Melayu Johor dan dikendali wartawan veteran Johan Jaafar sebagai moderator. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 September, 2022.

Katanya, parti politik seperti DAP dan PKR berjaya menampilkan mereka sebagai pilihan keseluruhan rakyat Malaysia, berbanding kumpulan parti berasaskan Melayu dan Islam.

“Sebabnya DAP dan PKR nampak saya ideologinya luas – lebih luas dari yang Melayu dan Islam sahaja.

“PKR kebanyakannya boleh kita anggap nampak saya kononnya merupakan kumpulan idealisme Malaysia, nampak macam untuk masyarakat ideal Malaysia,” tambah Musa lagi.

Ketiga-tiga parti PAS, Umno dan Bersatu kini membentuk kerajaan persekutuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan naib presiden Umno.

PAS bergabung dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional tetapi Umno tidak akan meneruskan kerjasama melalui Muafakat Nasional dengan parti Islam tersebut dalam PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Musa berkata kewujudan terlalu banyak parti waktu ini juga tidak membantu negara sekiranya setiap pihak yang menyertai pilihan raya hanya berebut jawatan perdana menteri.

Beliau beranggapan demikian kerana parti terbabit hanya mahu menyertai pilihan raya bersendirian tanpa membuat apa-apa gabungan.

Malah beliau mendakwa Dr Mahathir Mohamad yang sudahpun dua kali menjadi perdana menteri juga minat untuk menduduki jawatan itu sekali lagi.

“Terlampau banyak (parti) semua banyak nak jadi presiden (parti kerana) pilihan raya dah dekat.

“Dr Mahathir (Mohamad) pun nak, kalau tak salah saya. Kalau boleh dia nak jadi perdana menteri sekali lagi. Boleh jadi sebab dia pengerusi Pejuang. Kemudian nak bertanding sendiri.

“Bukan dia sahaja yang lain begitu, Umno juga begitu, nak bertanding sendiri, gasak engkaulah… Mana boleh, tak boleh. Kamu tak boleh hidup dalam negara ini sendiri,” katanya.

Apabila perkara itu berlaku, semua pihak yang menyertai pilihan raya hanya sibuk berunding kerusi untuk ditandingi mereka, kata bekas ahli Parlimen Labis itu.

“Akhirnya semua nak buat parti, hari-hari tengah runding tidak ada kerja lain. Entahlah, tak tahu macam mana. Mereka hanya berminat pada kerusi,” tambahnya.

Program dijalankan di sebuah hotel di Ampang itu anjuran Persatuan Anak Melayu Johor dan dikendali wartawan veteran Johan Jaafar sebagai moderator. – 17 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen