Tiada had masa kembalikan 35% kerusi Parlimen di Sarawak, Sabah, kata Abang Jo


Desmond Davidson

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata tiada had masa untuk mengembalikan kuota 35% kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

PREMIER Sarawak Abang Johari Openg berkata pensyarah sains politik Wong Chin Huat tersilap dalam penegasannya berhubung terdapat had masa ke atas permintaan Sarawak dan Sabah untuk mengembalikan 35% kuota, atau satu pertiga, kerusi Parlimen dan ia sudah tamat tempoh.

“Tidak betul,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini ketika ditanya mengenai dakwaan dalam salah satu pendapat Chin Huat di mana beliau menyatakan pembahagian itu dilindungi hanya selama tujuh tahun selepas Hari Malaysia.

Oleh itu, Chin Huat berkata pembahagian sudah tamat selepas 16 September 1970.

Ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, gabungan Sarawak, Sabah dan Singapura diberikan 55 kerusi dalam Parlimen Persekutuan atau 34.6% daripada 159 perwakilan pada masa itu, sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menghalang sebarang langkah unilateral Malaya untuk meminda Perlembagaan yang akan merugikan ketiga-tiga negeri.

Selepas Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, Sarawak dan Sabah sepatutnya mewarisi 15 kerusi Singapura untuk mengekalkan blok veto terhadap Malaya akan tetapi mereka tidak melakukannya dan perwakilan dikurangkan kepada 25.16%.

Kerusi itu diserahkan kepada Malaya yang membawa kepada permintaan berterusan negeri-negeri di Borneo yang disifatkan Abang Johari sebagai menangani ketidakseimbangan.

Chin Huat, yang kini mengetuai kluster mengenai sistem pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) kerajaan, juga menyatakan pematuhan berterusan untuk kebanyakan masa selepas 1970 didorong politik muhibah, bukan kewajipan undang-undang.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata ia “dinyatakan dengan jelas” dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) di mana hak dan kepentingan Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara), Sarawak dan Singapura “mesti dilindungi”.

Perdana menteri berkata jaminan perlindungan itu “dinyatakan secara eksplisit” bukan sahaja dalam perwakilan Parlimen tetapi juga dalam pendidikan dan bahasa.

Pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di bandar perindustrian Bintulu malam tadi, Abang Johari berkata Sarawak dan Sabah perlu memastikan hak dan keistimewaan mereka sentiasa dilindungi dan terpelihara di Parlimen dan tuntutan sebahagian pemimpin Persekutuan tidak dikenakan atau “menimpa kami sehingga merugikan kami”. – 17 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen