‘Ikrar Derma Organ’ pada MySejahtera beri harapan baharu kepada pesakit


Ravin Palanisamy

Kementerian Kesihatan memperkenalkan ciri baharu pada MySejahtera untuk membolehkan rakyat Malaysia melakukan ikrar derma organ secara dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

LEBIH ramai individu melakukan ikrar derma organ sekali gus memberi “harapan baharu” kepada pesakit yang memerlukan dan dalam senarai menunggu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Khor Xin Yun.

Beliau memuji usaha Kementerian Kesihatan memperkenalkan ciri baharu pada MySejahtera untuk membolehkan rakyat Malaysia melakukan ikrar derma organ.

“Ini sudah pasti satu permulaan yang baik untuk menjadikan ikrar derma organ lebih mudah diakses semua rakyat Malaysia menerusi platform digital kerana MySejahtera adalah salah satu aplikasi yang paling banyak dimuat turun di negara ini,” kata Khor kepada The Malaysian Insight.

“Kebanyakan orang tidak tahu di mana untuk menandatangani ikrar sebagai penderma organ.

“Mempelajari tentang pendermaan organ adalah satu perkara tetapi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengakses MySejahtera dan melakukan ikrar sebagai penderma organ pastinya merupakan satu perubahan besar bagi kami.”

Menurut Kementerian Kesihatan, 4,500 rakyat Malaysia menandatangani ikrar sebagai penderma organ setakat 12 September, hampir seminggu selepas ciri itu diperkenalkan pada MySejahtera.

“Secara purata, terdapat lebih 700 penderma organ baharu setiap hari sejak ciri baharu itu diperkenalkan,” tweet Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu menyasarkan 1,000 penderma setiap hari.

Menurut Pusat Sumber Transplan Nasional, terdapat 517,758 penderma organ berdaftar sejak 1997. Lebih 10,000 rakyat Malaysia berada dalam senarai menunggu untuk pemindahan organ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

Khor memuji rakyat Malaysia kerana melangkah ke hadapan untuk membantu.

“Kami memperjuangkan ikrar derma organ dan pendermaan organ selama ini, malah kami cuba mendekati masyarakat melalui pameran, jerayawara dan aktiviti kesedaran di lapangan.

“Tetapi tiada apa yang setanding dengan sesuatu seperti akses digital hari ini.”

Seseorang hanya perlu klik pada butang “Ikrar Derma Organ” pada papan pemuka MySejahtera untuk mendaftar sebagai penderma organ.

Penderma dibenarkan untuk membatalkan pendaftaran mereka pada bila-bila masa.

Menurut Pusat Sumber Transplan Nasional, terdapat 517,758 penderma organ berdaftar sejak 1997.

Lebih 10,000 rakyat Malaysia berada dalam senarai menunggu untuk pemindahan organ.

Walaupun peningkatan dalam aktiviti menderma organ adalah menggalakkan, Khor berkata kumpulan masyarakat sivil perlu melakukan lebih banyak usaha bagi mendidik orang ramai tentang faedah menderma organ.

Beliau berkata mereka juga berdepan tugas menangani maklumat salah mengenai pendermaan organ.

“Saya percaya NGO seperti kami atau beberapa badan agama juga boleh membantu menangani salah tanggapan ini untuk membantu meningkatkan kadar ikrar derma organ di negara ini,” katanya.

Khor berkata yayasan itu mewujudkan kesedaran tentang penderma hidup untuk pemindahan buah pinggang melalui program “Code Life”.

“Ia adalah program kesedaran di mana kami menjalinkan bekerjasama rapat dengan pakar nefrologi serta pesakit, penjaga mereka serta badan profesional penjagaan kesihatan,” katanya.

Khor berkata pesakit yang berjaya melakukan pemindahan organ bersama penderma hidup berkongsi testimoni mereka dalam satu forum.

“Menunggu laluan lain, derma organ boleh mengambil masa yang agak lama. Untuk buah pinggang, kami sekurang-kurangnya mempunyai pilihan penderma hidup.” – 17 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen