NEGARA masih belum melaporkan sebarang kes cacar monyet namun rakyat yang melancong ke luar negara diingatkan sentiasa berwaspada, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan menasihatkan rakyat yang melancong ke negara yang telah melaporkan kes cacar monyet agar berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami sebarang gejala.
“Elakkan aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan cacar monyet. Jika ada simptom, segera dapatkan rawatan,” kata Khairy dalam video yang dimuat naik di Twitternya hari ini.
Walaupun Malaysia masih bebas daripada kes cacar monyet, Khairy berkata kementerian kesihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, kementerian telah menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko cacar monyet.
“Antaranya adalah tatacara pengesanan dan notifikasi kes, pengambilan sampel, siasatan dan pengurusan kes serta kontak rapat dan pemantauan di pintu masuk antarabangsa seperti lapangan terbang,” katanya.
Khairy juga berkata bermulai 27 Mei lalu, kementerian telah memasukkan ciri amaran kesihatan cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera.
“Selepas pengembara mengisi borang pra-pelepasan dalam aplikasi MySejahtera, pengembara yang tiba dari negara endemik cacar monyet atau dari negara yang sudah melaporkan kes itu, akan menerima amaran kesihatan tersebut sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri, jika terdapat sebarang gejala,” tambahnya.
Kes virus cacar monyet global setakat semalam telah melepasi 1,000 jangkitan. – 8 Jun, 2022.
Komen