MySejahtera dikemas kini untuk kesan cacar monyet, kata Khairy


Raevathi Supramaniam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ciri baharu itu akan tersedia mulai esok dan membolehkan pengembara menjalankan penilaian kendiri setiap hari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2022.

PENGESANAN kontak MySejahtera akan dikemas kini dengan ciri baharu untuk memberi amaran kepada pelancong yang memasuki Malaysia dari negara endemik cacar monyet, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata ciri baharu itu akan tersedia mulai esok dan membolehkan pengembara menjalankan penilaian kendiri setiap hari untuk membantu memantau sebarang risiko penyakit itu.

“Setakat hari ini, tiada kes cacar monyet dilaporkan di negara ini,” kata Khairy dalam sidang media Zoom dari Geneva, Switzerland di mana beliau menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia.

“Melalui ciri baharu MySejahtera, pengembara dari negara Afrika Tengah dan negara bukan endemik yang mempunyai kes cacar monyet, tidak akan menerima perintah pengawasan rumah (HSO), tetapi akan mendapat amaran yang memaklumkan mereka memantau diri mereka selama 21 hari iaitu tempoh inkubasi.

“Selepas pengembara mengisi borang pra-berlepas di MySejahtera, pengembara yang tiba dari negara endemik cacar monyet atau dari negara yang melaporkan kes cacar monyet, akan menerima amaran kesihatan setiap hari selama 21 hari, iaitu tempoh inkubasi bagi virus itu.”

Cacar monyet adalah endemik di Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.

Bagaimanapun, terdapat kes dilaporkan di Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Khairy berkata objektif utama kementerian kesihatan adalah untuk menghalang penyakit itu daripada memasuki Malaysia.

Untuk itu, beliau berkata protokol kesihatan untuk cacar monyet adalah serupa dengan Covid-19 kerana kedua-duanya adalah penyakit berjangkit.

“Kami sudah biasa dengan protokol yang telah melalui Covid-19, perintah pengawasan di rumah juga akan dibuat sekiranya terdapat penularan wabak,” katanya.

Khairy berkata pengawasan di pintu masuk antarabangsa juga telah dipertingkatkan.

“Kami telah mengarahkan pegawai kesihatan kami dan pegawai imigresen di pintu masuk untuk mengawasi simptom dan penumpang terbabit untuk dirujuk kepada pihak kesihatan.

“Kami juga meningkatkan keupayaan diagnostik kami. Tindak balas rantai polimerase (PCR) boleh mengesan cacar monyet, kami sedang mengembangkan perolehan untuk reagen dan ujian molekul lain.

“Hospital awam dan swasta serta klinik telah diberi taklimat untuk pengesanan awal simptom dan hospital bersedia dengan wad pengasingan.”

Berhubung vaksinasi cacar monyet, Khairy berkata tidak akan ada sebarang inokulasi besar-besaran, sebaliknya vaksin itu hanya akan ditawarkan kepada kontak rapat dan petugas kesihatan. – 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen