PKR mahu Belanjawan 2023 tepat, benar dan adil


Kerajaan diharap tidak mengulangi kesilapan sebelum ini yang mengunjurkan hasil terlalu optimistik atau tidak logik dalam belanjawannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2022.

PKR menyeru Putrajaya memastikan unjuran hasil bagi Belanjawan 2023 tepat, benar dan adil.

Ia berkata kerajaan tidak sepatutnya mengulangi kesilapan sebelum ini yang mengunjurkan hasil terlalu optimistik atau tidak logik.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata penting bagi unjuran hasil yang betul kerana sebarang unjuran yang salah bukan sahaja akan mengganggu operasi kerajaan tahun depan tetapi juga menyebabkan kesan negatif ke atas perbelanjaan keseluruhan.

“Menyedari bahawa kos subsidi baru-baru ini telah naik kepada RM77.7 bilion, PKR menggesa kerajaan untuk mula bersungguh-sungguh meneroka sumber hasil lain yang lebih progresif, seperti cukai keuntungan modal ke atas saham dan cukai harta pusaka, dan kembali dengan beberapa cadangan terperinci untuk kami pertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Ogos, Wong, Nurul Izzah dan Fuziah Salleh mewakili PKR pada mesyuarat pra-belanjawan bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada akhir mesyuarat, semua pihak bersetuju untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu mesyuarat lagi sebelum pembentangan belanjawan pada 7 Oktober seperti yang dijadualkan.

Wong mencadangkan kerajaan mengarahkan Petronas merombak dan mengurangkan margin keuntungan tinggi semua vendor Petronas.

“Dengan melaksanakan dasar vendor yang lebih berdaya saing, telus dan bertanggungjawab, PKR percaya bahawa keuntungan Petronas dapat meningkat secara mendadak.

“Kami berpendapat bahawa peningkatan keuntungan Petronas ini adalah tersangat penting bagi mengurangkan tahap hutang negara yang tidak lagi mampan.”

Mengenai perbelanjaan pembangunan, beliau mengingatkan kerajaan mengetatkan semua projek mega, tidak kira sama ada dibiayai secara langsung atau menerusi PFI, dan hanya meneruskan projek yang sedang berjalan untuk disiapkan atau dianggap sangat perlu.

“Projek-projek ini harus dilakukan secara tender terbuka dan kompetitif, dengan harga yang berpatutan. Yang paling penting adalah memastikan projek tersebut mampu menjana pengganda ekonomi (economic multiplier) yang baik.” – 15 September, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen