Rusia kumpulkan semula tentera di timur ketika Ukraine mara


Moscow mengundurkan tenteranya di wilayah Kharkiv di timur Ukraine susulan kemaraan tentera Kyiv.– Gambar EPA, 11 September, 2022.

RUSIA berkata ia menarik balik tentera dari wilayah Kharkiv di timur Ukraine ketika Kyiv mengumumkan kemenangan besar dalam serangan balasnya.

Seorang pemimpin pemisah yang disokong Moscow di timur berkata tentera Rusia sedang mengharungi perang yang “sukar” dalam menentang tentera Kyiv di beberapa bahagian timur wilayah Donetsk.

Seorang pegawai Ukraine juga berkata tentera Kyiv sedang menghampiri bandar timur Lysychansk, yang ditawan oleh tentera Rusia selepas pertempuran artileri sengit pada bulan Julai.

Pengumuman Moscow mengenai pengunduran di samping dakwaan Kyiv telah memasuki bandar Kupiansk adalah anjakan paling ketara dalam dinamik medan perang selepas berbulan-bulan pertempuran di timur Ukraine yang telah dikuasai oleh Moscow.

“Keputusan telah dibuat untuk mengumpulkan semula tentera Rusia yang ditempatkan di wilayah Balakliya dan Izyum untuk meningkatkan usaha di sepanjang barisan Donetsk,” kata kementerian pertahanan Rusia dalam satu kenyataan.

Berita mengenai pengunduran itu muncul sejurus selepas pasukan khas Ukraine menyiarkan imej di media sosial yang menunjukkan pegawai berpakaian penyamaran dengan senjata automatik “di Kupiansk”, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 27,000 orang penduduk.

Tentera Ukraine juga telah membebaskan Vasylenkovo dan Artemivka di wilayah Kharkiv, kata Presiden Volodymyr Zelensky dalam ucapan malamnya pada Sabtu.

“Hari-hari terakhir ini, tentera Rusia telah menunjukkan yang terbaik (pihak) kepada kami—bahagian belakangnya. 

“Lagipun, ia adalah pilihan yang baik untuk mereka melarikan diri. Tiada tempat di Ukraine untuk penjajah. Tidak akan pernah ada,” kata Zelensky. 

Pemerhati menjangkakan tentera Ukraine akan membuat kemaraan selanjutnya di wilayah Kharkiv, yang bersempadan dengan Rusia dan telah dikuasai oleh Rusia atau dibedil oleh artilerinya selama berbulan-bulan. – AFP, 11 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen