Betapa gilanya serangan pada Robert Kuok


The Malaysian Insight

Jutawan Robert Kuok didakwa berminat untuk menentukan keputusan pilihan raya akan datang dan turut didakwa membiaya musuh Barisan Nasional (BN), termasuk DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2018.

ADA sejenis sakit mental yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir dan bertindak dengan jelas.

Penyakit inilah yang mungkin menjangkiti semakin ramai ahli politik Umno dan juga perancang strategi parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tentulah.

Bagaimana lagi kita boleh jelaskan mengenai obsesi golongan ini untuk menggambarkan Robert Kuok, bilionair yang pernah berkampung halaman di Malaysia, sebagai watak jahat?

Kuok didakwa berminat untuk menentukan keputusan pilihan raya akan datang dan turut didakwa membiaya musuh Barisan Nasional (BN), termasuk DAP.

Namun ironinya, sejak bertahun-tahun lalu, pemimpin kanan Umno berulang-alik ke Hong Kong untuk memberi penghormatan kepada Kuok. Ada yang memiliki jam tangan mewah pemberian Kuok dan ada juga yang terhutang budi padanya apabila keluarga mereka ditimpa kesusahan.

Mereka turut menggesa dan merayu pada Kuok untuk melabur dalam koridor ekonomi Iskandar dan projek lain di Malaysia. Ada kalanya, mereka juga cuba mengambil kesempatan atas pengaruh besarnya di Beijing.

Pada masa lain, ahli politik dari parti pemerintah dan eksekutif kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia berusaha untuk bertemu mata dengannya untuk mendapatkan buah pandangannya.

Tentulah, ahli politik Umno/BN dan elit korporat Malaysia mendabik dada kerana pernah makan tengahari atau minum teh dengan Kuok.

Beliau tahu banyak perkara mengenai elit politik Malaysia dan hanya sebahagian daripadanya disentuh dalam buku “Robert Kuok, A Memoir” yang terbit baru-baru ini.

Kuok menyatakan komen pedas mengenai pembangunan negara yang tergelincir dari landasan dan memberi pandangan yang terus terang mengenai Dasar Ekonomi Baru. Pandangannya ini tidak dipersetujui sama sekali oleh ahli politik Umno.

Ramai di kalangan pemimpin kanan dalam parti itu menahan diri dari melancarkan kritikan, mungkin kerana maklum bahawa bilionair itu mengetahui banyak perkara mengenai diri mereka.

Hanya segelintir pemimpin Umno yang menolak pandangan Kuok mengenai keadaan Malaysia pada waktu ini. Namun, kenyataan berkenaan tidak dipedulikan oleh media utama.

Sungguhpun begitu, ada juga pihak dalam ‘war room’ Umno yang menggambarkan Kuok sebagai pembiaya DAP dan dalang dalam usaha menjatuhkan kerajaan BN.

Tentulah PRU14 akan menjadi medan untuk menentukan siapa yang akan memenangi undi golongan Melayu. Namun tindakan menggambarkan hartawan paling disegani di Asia itu sebagai antiestablishment dan dalang politik menunjukkan tindakan terdesak.

Strategi ini juga sangat aneh memandangkan beberapa pemimpin yang memegang jawatan utama dalam Umno juga terhutang budi pada Kuok atas peningkatan kuasa dan kesejahteraan hidup mereka. – 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen