Ismail Sabri bahan kempen terbaik Umno setakat ini, kata pengkaji


Mohd Farhan Darwis

Pengkaji politik berpendapat Ismail Sabri Yaakob akan menarik sokongan tinggi pengundi baharu dan atas pagar dalam PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2022.

ISMAIL Sabri Yaakob bahan kempen terbaik Umno waktu ini selepas juara parti itu Najib Razak dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan dana awam, kata pengkaji politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, perdana menteri itu dipercayai mampu menarik sokongan pengundi terutamanya kumpulan pengundi baharu dan pemilih atas pagar.

Kemampuan itu dilihat berdasarkan pendirian Ismail tidak mencampuri urusan mahkamah ketika perbicaraan Najib berlangsung, walaupun penyokong dan ahli Umno mempunyai pendirian berbeza.

Menurut Ilham Centre, imej Ismail Sabri yang dilihat bersih tanpa sebarang skandal berbanding pemimpin Umno lain berpotensi memberikan sedikit ruang kepada parti Melayu itu.

Pengarah eksekutifnya Hisomuddin Bakar berkata,  imej Ismail Sabri itu mampu diterima kumpulan pengundi biasa, yang mana bilangannya lebih besar daripada keseluruhan tiga juta ahli Umno.

“Itu boleh berikan sedikit ruang untuk PRU15 dan membantu pulihkan sokongan dan tarik sokongan pengundi baharu. Mereka (Umno setakat ini) kekal dengan pengundi tetap sahaja.

“Sepatutnya apa yang boleh meningkatkan sokongan adalah pengundi baharu, seperti pengundi yang didaftar secara automatik, dan pengundi berumur 18 tahun yang sepatutnya menjadi rebutan.

“Kalau BN tak dapat menangkap segmen ini mereka takkan menang,” kata Hisomuddin.

Oleh itu Umno wajar menggunakan imej ahli Parlimen Bera itu untuk menarik sokongan pengundi memandangkan majoriti rakyat berpihak kepadanya, kata beliau.

“Imej Ismail Sabri masih bersih dan boleh dijual. Perdana menteri tidak campur tangan soal kehakiman walaupun didesak kuat oleh parti, tapi dia kekal (tidak campur tangan) dan diterima khalayak ramai.

“Walaupun tindakannya tidak popular dalam kalangan ahli Umno tetapi itulah yang sebetulnya dilakukan Ismail Sabri, selaku pihak yang berkuasa.

“Sepatutnya imej itu perlu disebarkan seluasnya oleh Umno dan BN. Mereka kena sedar, jalan yang Ismail Sabri lalui itu adalah di landasan yang diterima ramai, parti kena keluar daripada retorik lama,” katanya.

Tindakan Ismail Sabri yang enggan mencampuri urusan mahkamah berkait perbicaraan Najib itu bagaimanapun menyebabkannya berhadapan tekanan daripada pimpinan dan ahli Umno.

Tekanan itu dapat dikesan melalui kenyataan yang muncul dari pemimpin parti dalam program yang dianjurkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, sehari selepas Najib dipenjarakan.

Ahmad Zahid juga kini berhadapan perbicaraan di mahkamah atas dakwaan penyalahgunaan dana yayasan.
Tambahnya, Ismail Sabri juga perlu menjuarai kempen Umno kerana parti itu perlu menangani kemerosotan sokongan di kalangan pengundi tegarnya.

Walaupun BN menang majoriti dua pertiga di PRN Melaka dan Johor, parti itu tidak menambah sokongan tetapi mengekalkan sokongan pengundi tegar mereka, katanya.

Jelasnya sokongan itu kini mula goyah disebabkan pendedahan demi pendedahan ke atas penyelewengan dilakukan pemimpin Umno.

“Umno perlu memulihkan imej yang terkait dengan kluster mahkamah. Ini respon awam, Imej Umno terkait rasuah dan penyalahgunaan dana awam mengganggu aras sokongan.

“Pendedahan demi pendedahan mengakibatkan sokongan akan terhakis.

“Walaupun tak banyak tapi akan tetap terhakis dek pendedahan pembangkang, ditambah kes mahkamah (pimpinan Umno), cuma bezanya hakisan itu kecil atau besar,” kata Hisomuddin.

Pengkaji Mazlan Ali pula melihat, Ismail Sabri mampu mengisi lompong ditinggalkan Najib yang sebelum ini menjadi perhatian pengundi dalam jelajah kempen sewaktu PRK mahupun PRN.

Beliau berpendapat, Umno tiada pilihan lain selain menjadikan Ismail Sabri “poster boy” untuk membantu kempen BN dalam PRU15 kerana watakny mampu menarik perhatian pengundi.

“Umno tiada tokoh lain selain Ismail Sabri. Imej baik, (dalam) perjalanan kes mahkamah (Najib) nampak dia telus, tak campur tangan, perbicaraan juga berlangsung lancar, tidak ada gangguan.

“Dalam politik, persepsi yang penting, bukan benar tak benar dan bagi rakyat imej Ismail Sabri bagus, ada kelebihan buatnya menjadi poster boy BN,” katanya.

Pensyarah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia itu melihat situasi semasa tidak memihak kepada Umno dan BN.

Pendedahan penyelewengan oleh pembangkang, khususnya Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilihat semakin berjaya menarik perhatian pengundi atas pagar, katanya.

“Umno dan BN ada sikit masalah dari segi persepsi rakyat dan mereka tiada tokoh sebaik Najib untuk menerajui kempen… Umno agak kehilangan.

“Sekarang ini kita tidak nampak apa patut Umno nak bawa (kempen pada PRU15) apabila banyak isu integriti. Nak kata bawa perpaduan, sekarang Umno dah pecah dua, nak bawa kestabilan pun Umno asyik berkelahi.

“Umno tidak ada tokoh menerajui kempen sebaik Najib. Apabila dia masuk penjara, Umno cedera,” katanya.

Promosi kejayaan pentadbiran Najib

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awang Pawi berpandangan Umno perlu mempromosi kejayaan yang dicapai pentadbiran Najib sebelum parti itu tewas kepada Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Universiti Malaya itu berpendapat, Umno perlu memberi penerangan kepada pengundi melalui kempen mereka bahawa Najib membantu kepada pembangunan negara.

“Yang disabit ialah individu dan bukannya parti. Perkara ini perlu jelas diberikan pencerahan dan perspektif kepada pengundi,” katanya.

Memandangkan Najib kini dipenjara, Umno dan BN antara lainnya perlu menggunakan logo mereka sebagai simbol pencapaian negara, jelas beliau.

“Pemimpin datang dan pergi akan tetapi parti akan terus kekal lama,” katanya.

Tambahnya, penyokong tegar Umno akan tetap yakin Najib dihukum dengan pendakwaan politik dan sentimen ini lebih besar dari pengundi moderat yang menitikberatkan isu tadbir urus.

“Pensabitan Najib dalam budaya Melayu dianggap kurang wajar kerana (bekas perdana menteri itu) dikatakan terlalu banyak menyumbang kepada negara dengan pelbagai transformasi.

“Maka ramai Umno konservatif terpengaruh dengan aspek ini, namun bagi masyarakat Melayu moden dan moderat isu tersebut tak penting berbanding soal tadbir urus negara,” katanya.

Kalangan pemimpin Umno juga mengakui mengakui kempen pilihan raya parti akan sedikit terjejas tanpa kehadiran Najib, namun melihat ia tidak menganggu perjalanan jentera parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Muhammad Razlan Rafii berkata ketiadaan Najib terasa kerana beliau giat berkempen dalam setiap pilihan raya disertai parti.

“Memang tak dinafikan, kempen PRN dan PRK Najib bekerja keras untuk menangkan parti. Semangat itu akan dibawa seiring dalam kempen,” katanya.

Namun keadaan itu berbeza untuk PRU akan datang memandangkan kempen tertumpu di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

“Hari ini bila PRK, PRN orang bertumpu (di satu-satu kawasan) tetapi apabila PRU orang tidak akan bertumpu, semua Parlimen kempen masing-masing,” katanya.

Beliau juga yakin elemen simpati segelintir rakyat terhadap Najib akan membantu kempen Umno dan BN, walaupun pembangkang akan menggunakannya bagi memburukkan imej dan integriti parti.

“Ada di antara perkara kita tahu, orang akan simpati. (Walaupun) kita tak kempen, orang tengok dan simpati orang akan undi kita.

“Pembangkang bagaimanapun sudah pasti akan gunakan kes untuk katakan ini kesilapan BN. Namun Umno akan ambil secara positif.

“BN akan diterima rakyat semula sebab rakyat faham apa yang berlaku. Beri kuasa kepda PH (perkara) sia-sia. Itu sebab rakyat kembali kepada BN,” katanya.

Kepercayaannya itu berdasarkan kemenangan besar Umno dalam PRN Melaka tahun lalu dan juga dalam PRN Johor pada Mac. – 3 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen