Undi18 siapkan pengundi muda untuk PRU15


Elill Easwaran

UNDI18, pergerakan belia yang berjaya memperjuangkan pengurangn had umur minimum mengundi di Malaysia daripada 21 kepada 18 tahun, kini dalam misi mempersiapkan belia dan pengundi kali pertama bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Matlamat utamanya bukan mengajar mengenai asas cara mengundi tetapi untuk memastikan mereka memahami kesan undi mereka.

Pengasas bersama dan pengarah pendidikan Undi18, Qyira Yusri, memberitahu The Malaysian Insight mereka akan menggerakkan jentera di seluruh negara untuk menyediakan pengundi muda dan kali pertama.

“Satu program yang akan kami anjurkan ialah perdebatan di kalangan pemimpin politik muda setiap parti mengenai dasar yang berbeza,” kata Qyira.

“Ini akan membolehkan pengundi muda melihat pemimpin mana yang mempunyai pemahaman dan penyelesaian lebih baik bagi sesuatu dasar.

“Kami juga mahu pemimpin muda ini memberi perhatian kepada belia tentang kepentingan mengundi dan bagaimana undi mereka akan membentuk negara.”

Lima debat akan diadakan di seluruh negara, dengan yang pertama dijadualkan sebelum Hari Malaysia.

“Kami menjemput individu daripada parti kerajaan dan pembangkang, dan sambutan setakat ini adalah baik.”

Malaysia mempunyai 1.44 juta pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun. 

Mereka membentuk 6.9% daripada 21.03 juta dalam daftar pemilih 2021 yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 17 Januari.

Selangor mempunyai jumlah pengundi baharu berumur bawah 21 tahun tertinggi iaitu 280,495, diikuti Johor (176,618), dan Sarawak (133,015).

Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu.

Qyira Yusri berkata Undia18 akan menggerakkan jentera di seluruh negara untuk mempersiapkan pengundi muda dan kali pertama bagi menghadapi PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Ogos, 2022.

Qyira berkata mereka mempunyai satu lagi program iaitu Dewan Muda Malaysia yang akan menyaksikan 222 belia berumur antara 15 hingga 30 tahun ditempatkan di semua kawasan Parlimen di negara ini.

“Sebanyak 222 individu ini akan menganjurkan bengkel di kawasan mereka untuk mendidik pengundi muda,” katanya.

Beliau juga berkata mereka kini sedang mengusahakan cara untuk memastikan undi pos tiba tepat pada masanya.

“Banyak yang kami pelajari daripada tinjauan pendapat di Johor baru-baru ini yang kebanyakan pengundi muda baharu ini selalunya tidak tinggal di kawasan mereka.

“Jadi kami kini membina rangkaian dengan badan pelajar di seluruh dunia untuk memastikan setiap undian sampai tepat pada masanya.

“Semasa pilihan raya Johor kita berjaya membawa balik 4,000 daripada 7,000 undi pengundi muda yang berada di luar negara.

“Kali ini kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan setiap undi apabila pilihan raya diadakan,” kata Qyira.

Ketika ditanya mengenai rancangan kumpulan itu untuk mendidik pengundi luar bandar, beliau berkata ia akan melalui media sosial.

“Suka atau tidak, pilihan raya umum akan datang ini adalah pilihan raya TikTok,” katanya.

“Ia adalah platform media sosial yang paling pesat berkembang sekarang dan semua orang nampaknya menggunakannya. Dalam tempoh satu malam sahaja, video pada platform boleh menerima berjuta-juta tontonan.

“Kami berharap dapat membuat video dengan maklumat pendek mengenai pilihan raya, seperti apa yang perlu diketahui sebelum mengundi,” katanya.

Gesaan pilihan raya awal semakin kuat sejak kebelakangan ini walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai hampir setahun lagi dalam tempoh berkhidmat.

Pada hujung minggu, parti politik dan gabungan dilihat berlumba-lumba mengadakan konvensyen dan perhimpunan masing-masing bagi persediaan menghadapi pilihan raya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pilihan raya umum perlu diadakan sekarang kerana rakyat mahu kerajaan yang sah tidak terikat dengan skim politik.

Beliau berkata Umno sudah memutuskan untuk mengadakan pilihan raya sekarang dan sebarang kekacauan hanya akan meletakkan parti itu di ambang perpecahan dan kehancuran.

Pada Isnin, sejurus selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Ismail Sabri mengelak apabila ditanya sama ada pilihan raya akan diawalkan.

“Tunggu, tunggu,” hanya itu yang Ismail Sabri katakan kepada wartawan.  – 31 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen