Masih banyak perlu dilakukan tangani buli di sekolah, kata kumpulan pendidik


Khoo Gek San

Kumpulan pendidik berkata tindakan afirmatif perlu diambil terhadap pelaku buli di sekolah dan mengenal pasti isu asas yang membawa kepada perlakuan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2022.

PELANCARAN platform antibuli untuk mengatasi amalan buli sepatutnya sudah lama dilaksanakan tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani masalah ini, kata kumpulan pendidikan.

Mereka berkata walaupun platform itu membolehkan sekolah menjejaki kes buli, tindakan afirmatif perlu diambil terhadap pelaku.

Isu asas yang membawa kepada buli juga mesti dikenal pasti, kata mereka.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata portal itu sepatutnya diwujudkan sejak lama dahulu.

“Aduan Buli adalah saluran yang sepatutnya diwujudkan sejak lama dahulu untuk menangani buli di sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dulu pemimpin sekolah hanya akan menolaknya atau menyuruh pembuli itu dipindahkan ke sekolah lain.

“Persoalannya sekarang ialah apakah tindakan sewajarnya akan diambil untuk memulihkan pembuli dan bukannya menghukum.”

Azizah berkata masalah utama buli ialah sama ada pihak sekolah memilih untuk bertindak atau tidak.

“Bagaimanakah Aduan Buli dapat memastikan setiap kes ditangani dan pemulihan sewajarnya diambil?” soalnya.

“Walaupun kami mengalu-alukan inisiatif ini, banyak lagi yang perlu dilakukan daripada sekadar mengambil maklum. Bagaimana ia akan berbeza daripada sebelumnya?

“Adakah ini secara serius akan menghapuskan buli atau adakah ia satu legasi yang ingin ditinggalkan oleh menteri?”

Badan bebas lebih ideal untuk menangani buli di sekolah, kata Azizah.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 19 aduan berkaitan buli di sekolah menerusi portal Aduan Buli sejak ia dilancarkan pada 18 Ogos lalu, kata menterinya Radzi Jidin.

Beliau berkata, 16 aduan diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) dan tiga melalui aplikasi WhatsApp di talian 014-800 9325.

Portal Aduan Buli yang boleh diakses di https://www.moe.gov.my/aduanbuli dilancarkan bagi membolehkan kejadian buli dilaporkan terus kepada KPM.

Ia menyediakan tiga saluran untuk orang ramai, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah iaitu melalui talian khas di talian 03-88849352 atau aplikasi WhatsApp, e-mel di [email protected] atau melalui SISPA.

Terdapat 802 kes buli dilaporkan antara 2018 hingga Julai tahun ini.

Wang Heng Suan, setiausaha agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berkata sekolah mempunyai prosedur operasi standard untuk menangani buli, yang memerlukan mereka memfailkan laporan dalam seminggu.

Wang berkata apabila pihak sekolah menerima laporan buli, pada hari pertama laporan itu terdapat sangat sedikit maklumat mengenai apa yang berlaku.

Biasanya pada hari ketiga akan ada butiran lanjut tentang apa yang berlaku, katanya.

Menjelang akhir minggu, sekolah sepatutnya akan menyelesaikan siasatan mereka dan laporan dihantar kepada jabatan pendidikan negeri, kata Wang.

“Portal ini membolehkan aduan pelajar dibuat; hukuman masih berbeza mengikut kes.

“Ia masih sangat baharu dan saya rasa pelbagai pihak mesti bersatu untuk menambah baik portal itu.”

Wang berkata cara biasa menangani buli sentiasa meminta ibu bapa pelajar datang ke sekolah untuk membincangkan penyelesaiannya.

Katanya, dalam soal buli ia hampir menjadi trend di sekolah apabila pelajar merakam dan berkongsinya di media sosial. – 27 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen