EU, negara lain ulangi gesaan Rohingya terima keadilan


Kira-kira 1.2 juta warga Rohingya melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh dan tinggal di kem pelarian Cox's Bazar sejak Ogos 2017 susulan serangan tentera Myanmar. – Gambar EPA, 26 Ogos, 2022.

MENTERI Luar Kesatuan Eropah (EU), Australia, Kanada, New Zealand, Norway, United Kingdom (UK), dan Amerika Syarikat (AS) menggesa pesalah yang mencabuli hak asasi manusia masyarakat Rohingya Myanmar supaya mengaku bertanggungjawab atas perbuatan itu demi memastikan keadilan bagi rakyat Rohingya.

Dalam satu kenyataan bersama sempena ulang tahun kelima kempen ketenteraan “kejam” terhadap minoriti Islam itu, menteri luar memuji “keberanian komuniti Rohingya” dan memberi penghormatan kepada golongan terbabit.

Mereka menggesa “rejim tentera untuk menghentikan keganasan terhadap golongan itu yang menderita di bawah pemerintahannya, termasuk pencabulan hak asasi manusia selama berdekad serta penderaan yang dialami oleh Rohingya dan komuniti lain di Myanmar”.

Wakil kanan EU dan menteri luar menyeru rejim tentera untuk mematuhi langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan mengesahkan komitmen mereka agar pelaku bertanggungjawab atas perbuatan itu demi memastikan keadilan bagi rakyat Rohingya.

Kenyataan itu menegaskan serangan ganas ke atas komuniti Rohingya di Rakhine pada 2017, seperti membunuh, merogol, dan menyeksa ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya membawa kepada penghijrahan besar-besaran dalam sejarah baru-baru ini dengan lebih 700,000 melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Kenyataan itu turut menyatakan kebimbangan mengenai keputusan Misi Pencarian Fakta PBB yang mengesan corak pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia yang serius, dan kebanyakannya merupakan jenayah berat di bawah undang-undang antarabangsa.

Ia juga mengiktiraf inisiatif Gambia untuk menyeru Mahkamah Antarabangsa Keadilan (ICJ) menjalankan siasatan sama ada kekejaman itu boleh dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Kenyataan itu turut memuji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bangladesh dan negara tuan rumah lain atas kemurahan hati mereka membantu dan memberi sokongan kepada masyarakat Rohingya,dan menganjurkan kepulangan mereka ke negara asal secara selamat, sukarela, dan bermaruah.

Rakyat Rohingya keluar beramai-ramai bermula pada 25 Ogos, 2017 selepas tentera Myanmar melancarkan operasi terhadap minoriti Islam itu di wilayah utara Myanmar.

Sejak itu, kira-kira 1.2 juta warga Rohingya melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh dan tinggal di kem pelarian Cox’s Bazar. – Bernama, 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen