Isteri menteri terlibat skandal projek LCS, dakwa Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa syarikat isteri kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri terlibat dengan transaksi mencurigakan membabitkan penyelewengan lebih RM233 juta projek kapal tempur pesisir babit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2022.

ISTERI kepada seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri terlibat dengan transaksi mencurigakan melibatkan projek kapal tempur pesisir (LCS), dakwa Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi mendakwa, penyelewengan lebih RM233 juta itu membabitkan syarikat isteri kepada kepada Abdul Latiff Ahmad, menteri dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pada waktu ini.

Menurut Rafizi, wanita yang dinamakannya sebagai Zainab Mohd Salleh itu terlibat menjadi pemegang saham dalam syarikat luar pesisir bagi menyeleweng dana projek LCS.

Syarikat yang dinamakannya Alizes Marin Limited dan Alizes Marine Labuan itu dikenalpasti melalui kebocoran pangkalan data syarikat luar pesisir dalam Panama Papers, dakwa Rafizi dalam kenyataannya.

Selain itu satu lagi syarikat dikenalpasti terlibat iaitu Intralogistics Limited yang merupakan pemegang saham dalam Alizes Marine Labuan, katanya.

“Kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS,” katanya.

Jelasnya, syarikat tersebut antara lain menghantar invois bagi kerja yang tidak dilaksanakan dan dilantik menjadi jururunding teknikal sedangkan tiada kepakaran kepada projek.

“Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014,” kata Rafizi.

Bagi kes membekal alat ganti melibatkan Alizes Marine, syarikat itu dididakwa dilantik dengan maklumat palsu bahawa ia ia mempunyai lesen pengeksport alatan tersebut dari kerajaan Perancis.

“Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan,” dakwanya.

Dakwanya, ia berlaku sewaktu Abdul Latiff menjadi timbalan menteri pertahanan dalam tempoh 2008 hingga 2013.

“Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat berkait dengan beliau,” katanya.

Data mengenai dakwaannya itu diperolehi dalam pangkalan data Paradise Papers di pautan https://offshoreleaks.icij.org/nodes/55047357, kata Rafizi.

Dalam kenyataannya petang ini, Abdul Latiff menafikan dakwaan Rafizi bahawa wanita yang dinamakan itu sebagai isterinya.

“... Saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.”

Abd Latiff juga menyatakan kesediaan memberi kerjasama penuh ke atas siasatan berkenaan.

Seorang bekas panglima tentera laut Ahmad Ramli Mohd Nor pada minggu lalu didakwa atas tuduhan pecah amanah jenayah minggu lalu berkaitan projek LCS.

Beliau merupakan pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp (BHIC), syarikat induk  Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilantik untuk membina enam vesel LCS itu.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendapati kerajaan sudah membayar lebih RM6 bilion untuk lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berikrar untuk akan menjamin ketelusan dalam siasatan kontrak LCS dan tidak akan membiarkannya menjadi bahan spekulasi. – 22 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen