BARISAN Nasional (BN), khususnya Umno, jelas terkejut dengan cara rayuan Najib Razak berjalan dan kesan skandal kapal tempur pesisir (LCS), kata P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata disebabkan itulah pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi tergesa-gesa mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera supaya tidak jejaskan peluang gabungan itu untuk menang.
“Saya fikir mereka mungkin bercakap benar jika BN fikir ia mungkin kalah dalam jika pilihan raya diadakan tahun depan.
“Mereka sedar kemungkinan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak akan ditolak, yang mana mungkin (PRU15) tidak memihak kepada Umno atau BN.
“Ini belum lagi projek LCS yang terbengkalai selepas rugi lebih RM6 bilion, yang diperoleh daripada tabung dana pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin DAP itu juga berkata, Zahid, yang turut berhadapan perbicaraan kes rasuah, sedar kesan projek LCS terhadap keupayaan BN untuk menang PRU15 dengan selesa.
“Satu perkara yang pasti, kegagalan kewangan LCS pasti akan mengheret BN, terutamanya komponen terkuatnya, Umno.
“Malang yang parti komponen lain dalam BN mungkin terpaksa berdepan dengan kemarahan pengundi kerana penglibatan pemimpin Umno dalam rasuah dan urus niaga tidak jujur.”
Katanya, Zahid juga berpeluang untuk didakwa dan disabitkan kesalahan.
“Namun dengan penglibatan pemimpin Umno dalam kes rasuah dan salah urus kewangan, mereka masih berani untuk menggesa PRU15 diadakan lebih awal.
“Sabitan Najib mungkin beri kesan domino kepada pemimpin Umno yang korup,” kata Ramasamy.
Rayuan Najib kepada Mahkamah Persekutuan tidak mengikut perancangannya selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan peguam baharunya, selain turut menolak permohonan peguam utamanya daripada menarik diri, memaksa peguam itu terus mewakili bekas perdana menteri itu.
Pihak pembelaan sepatutnya membuat penghujahan pada Selasa tetapi pasukan peguam Najib berkata mereka tidak dapat berbuat demikian kerana mereka tidak bersedia.
Pada Julai 2020, Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah dana SRC International berjumlah RM42 juta. Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.
Mahkamah Rayuan juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan sesi siasatannya terhadap isu LCS sejak 18 Nov 2020 mendapati belum ada satu pun LCS yang disiapkan walaupun kontrak yang diberikan melalui rundingan terus menyatakan lima kapal sepatutnya telah dibina dan dihantar pada Ogos 2022.
Kontrak pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi isu hangat selepas pendedahan tersebut. Ia dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dari 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023. Setakat 31 Mei 2019, cuma 53.29 peratus siap.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang didedahkan pada Rabu, sebanyak RM5.94 bilion telah dibayar Kementerian Pertahanan kepada BNS untuk projek itu setakat ini. – 21 Ogos, 2022.
Komen