Tidak perlu padam maklumat laporan dinyahklasifikasi, kata PAC


JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menerima laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung perolehan enam Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV) Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dinyahklasifikasikan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia sejajar keputusan Kabinet pada 10 Ogos lepas yang mengarahkan JPM menyahklasifikasikan laporan berkenaan.

Beliau berkata ini selaras dengan syor PAC dalam laporannya mengenai perolehan LCS yang dibentangkan di Parlimen 4 Ogos lepas.

“Ada beberapa fakta dalam laporan berkenaan yang dipadamkan oleh JPM, namun pada keseluruhannya ia tidak menjejaskan fakta keseluruhan laporan berkenaan.

“Bagaimanapun, PAC tetap berpendirian bahawa pemadaman maklumat tersebut adalah tidak perlu kerana maklumat berkenaan dengan Pengarah dan Pemegang Saham Boustead Holdings Bhd, Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Perstim Industries Sdn Bhd yang dipadamkan sememangnya merupakan maklumat terbuka dan boleh didapati dengan suatu carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Menurutnya, laporan JKSTUPKK berhubung projek LCS itu boleh diakses di pautan https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-257-317.pdf.

Wong berkata PAC juga masih menunggu laporan pengauditan forensik yang dibuat syarikat BNS untuk dinyahklasifikasikan selaras dengan keputusan Kabinet. – Bernama, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen