Lip Eng desak Jalaluddin jelaskan senarai hitam seumur hidup pemilik Crackhouse


Lesen Crackhouse Comedy Club dibatalkan dan pemiliknya disenarai hitam sepanjang hayat daripada mendaftarkan perniagaan di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2022.

AHLI Parlimen Kepong Lim Lip Eng menuntut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias menjelaskan sebab ke atas keputusannya berkaitan pemilik Crakchouse Comedy Club Rizal Van Geyzel yang diharamkan mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur sepanjang hayat.

Katanya, tindakan Jalaluddin bercanggah dengan maklumat daripada “sumber sangat boleh dipercayai” yang Jawatankuasa Perlesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mencadangkan Rizal disenarai hitam hanya selama setahun.

Jalaluddin juga tidak ada kuasa mengeluarkan halangan individu sebegitu ke atas Rizal, tambahnya.

Malah timbalan menteri itu bertanggungjawab memberi penjelasan kepada rakyat tentang peruntukan undang-undang yang memberikannya kuasa mengenakan sekatan seumur hidup daripada mendaftarkan sebarang perniagaan di ibu kota seperti yang dikeluarkan kepada Rizal.

Lim turut membangkitkan yang lesen hiburan dikeluarkan untuk syarikat dan bukannya individu.

“Walaupun saya tidak menyokong tindakan atau kenyataan yang bertujuan menghina mana-mana agama atau kaum, saya juga tidak menyokong sebarang sekatan pihak berkuasa yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Kuala Lumpur adalah bandar metropolitan ditadbir oleh peraturan dan undang-undang, terutamanya yang dikuatkuasakan oleh DBKL,” jelasnya.

Menurutnya lagi, akan ada pihak yang memperlekehkan pertanyaannya itu tetapi “sedarlah yang pihak timbalan menteri yang berdiam diri hanya boleh ditafsirkan sebagai pengakuan kecuaiannya dalam menangani perkara itu”.

Rabu lepas, Jalauddin mengumumkan yang juga DBKL membatalkan lesen kelab komedi itu berkuatkuasa 30 Jun mencetuskan ketidakpuasan hati pemilik kelab, Rizal dan Shankar R Santhiram yang bertindak menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Datuk Bandar KL Mahadi Che Ngah menuntut beliau menjelaskan kenyataan Jalaluddin.

Kelab itu menjadi tumpuan negara selepas satu persembahan yang dilaporkan menghina Islam.

Beberapa video lama persembahan berkaitan Rizal yang dijumpai pihak berkuasa juga menyebabkan dia ditahan pada 14 Julai.

Dia didakwa atas kesalahan salah guna peranti komunikasi di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan kes itu, Rizal turut menerima ugutan bunuh. – 20 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen