PEMILIK Crackhouse Comedy Club akan mencabar keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen perniagaan mereka serta menyenarai hitam dua pemiliknya daripada mendaftarkan sebarang perniagaan selama-lamanya di Kuala Lumpur, kata peguam mereka.
Tetuan Karpal Singh & Co yang dilantik untuk mewakili kelab komedi itu dan pemiliknya berkata tindakan DBKL, seperti yang dilapor media semalam, “tidak munasabah dan tidak rasional”.
“Hak kehidupan anak guam kami yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan akan terjejas dengan serius,” kata firma guaman itu, jika laporan media semalam benar.
Tetuan Karpal Singh & Co berkata mereka mewakili Crackhouse Comedy Club dan pemiliknya iaitu Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R. Santhiram, dan diarahkan untuk mencabar keputusan DBKL di mahkamah.
Ia memberi masa 48 jam kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah untuk mengemukakan notis atau surat rasmi kepada kelab komedi itu dan pemiliknya berkenaan keputusan yang dihebahkan semalam.
Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias dipetik berkata keputusan itu berkuat kuasa 30 Julai, hasil mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan DBKL sehari sebelumnya.
Kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ini terheret kontroversi selepas tular rakaman video seorang wanita membuat persembahan yang mencetuskan suasana tidak harmoni apabila menanggalkan baju kurung dan tudung serta menghina Islam.
Pada 13 Julai, Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan sesama Islam.
Pasangannya Alexander Navin Vijayachandran pula mengaku tidak bersalah di mahkamah berasingan di Petaling Jaya atas tuduhan salah guna kemudahan komunikasi mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Rizal juga dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.
Beliau mengaku tidak bersalah, dan kesnya dijadual disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat ini.
Rizal juga membuat laporan polis berhubung dakwaan bunuh yang diterimanya yang berbangkit daripada kontroversi sama. – 18 Ogos, 2022.
Komen