DBKL batal lesen Crackhouse Comedy Club, senarai hitam pemilik


Pembatalan lesen perniagaan Crackhouse Comedy Club berkuatkuasa 30 Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2022.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen perniagaan Crackhouse Comedy Club dan menyenarai hitam pemiliknya selama-lama daripada mendaftarkan perniagaan di Kuala Lumpur, lapor BH Online.

Kelab itu terseret dalam kontroversi selepas seorang wanita membuat persembahan yang mencetuskan suasana tidak harmoni apabila menanggalkan baju kurung dan tudung serta menghina Islam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias dipetik berkata keputusan terhadap Crackhouse Comedy Club dan pemiliknya Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan DBKL dalam mesyuaratnya 29 Julai.

Pembatalan lesen perniagaan Crackhouse Comedy Club berkuatkuasa 30 Julai.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

Pada 21 Julai, Rizal, 39, dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.

Beliau mengaku tidak bersalah, dan kesnya dijadual disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat ini.

Sementara itu, Jalaluddin juga berkata pihak DBKL sedang memantau beberapa kelab lain yang menjalankan aktiviti persembahan komedi.

“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

Pada 13 Julai, Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan sesama Islam. Kesnya akan disebut semula esok.

Pasangannya Alexander Navin Vijayachandran pula mengaku tidak bersalah di mahkamah berasingan di Petaling Jaya atas tuduhan salah guna kemudahan komunikasi mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kesnya akan disebut semula 1 September. – 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen