Inteligensia gaya Kassim Ahmad


Naim Al-Kalantani

SEBUT apa saja bidang yang ditelusuri oleh Kassim Ahmad, akan ada saja idea-idea provokatif daripadanya. Kassim Ahmad sebagai sasterawan, pemikir sosial dan juga ahli politik.

Nama Kassim Ahmad akan wujud di mana-mana. Masyarakat akan gunakan teksnya, tetapi mereka tidak dibicarakan ‘siapakah Kassim Ahmad?’. Ia terjadi pada saya sendiri ketika mengikuti pengajian ijazah.

Teks-teks Pak Kassim digunakan di kelas sebagai bahan utama. Karya agung Melayu, Hikayat Hang Tuah yang beliau selenggara digunakan daripada awal semester hingga tamat pengajian. Perkataan ‘Hang Tuah’ tidak lekang dari mulut kami di fakulti. 

Karya-karya lain juga diangkat selari dengan nama penulis; sebut saja Tun Sri Lanang, Shahnon Ahmad, Munsyi Abdullah hinggalah ke Roslan Jomel – semuanya diangkat sekali dengan nama berserta karya-karya mereka.

Tetapi ia tidak terjadi pada nama Kassim. Aneh. Walhal jasa dan bakti Kassim tiada galang gantinya. Saya pernah bercanda dengan teman bahawa jika tiada Kassim, maka kita tidak akan dapat nikmati Hikayat Hang Tuah.

Kassim dalam arena kesusasteraan bukanlah tokoh yang asing. Dia seorang inteligensia yang setia pada kebenaran dan tetap prinsipnya. 

Lihat sendiri bagaimana dia ‘bertengkar’ dengan teman baiknya sendiri – Shahnon Ahmad – sehingga menimbulkan polemik sastera Islam. Asal muasal perdebatan tersebut hanyalah satu ‘ulasan’ Kassim di Dewan Sastera berkenaan buku Kesusasteraan dan Etika Islam (1981).

Saya menggunakan perkataan ‘bertengkar’ kerana jika dibaca kembali “Polemik Sastera Islam” (1987), pembaca boleh perasan nada Kassim sangat keras menentang beberapa pandangan dari Shahnon.

Ada yang berkata, polemik sastera ulung yang pernah dibawa di Malaysia ini hanya ada dua; pertama, polemik seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, dan kemudian, polemik sastera Islam versi Shahnon dan Kassim.

Polemik ini masih dibincangkan sehingga kini kerana kita tiada polemik yang berterusan dan mapan seperti dua orang tokoh dalam bidang sastera, satunya dari sastera Inggeris (Shahnon Ahmad) dan satu lagi dari aliran Melayu (Kassim Ahmad).

Shahnon menulis sebuah buku sekitar 113 halaman tebalnya, ‘dibubuh’ oleh Kassim hanya dengan siri-siri tulisan di Dewan Sastera sekitar 1982–1984. Lama! Tiga tahun itu, bila direnungkan, makalah-makalah yang Kassim tulis boleh berdiri menjadi gagasan (jika bukan teori sekalipun) sastera Islam.

Nah, betapa mahirnya Kassim menulis dan paling penting, dia tidak berputus asa dalam penulisannya. Tetapi satu yang kita hilang, dalam jawapan penutup polemik itu, tiada tulisan daripada Shahnon yang mengakibatkan seperti kekalahan berpihak padanya. Pun, sebenarnya hujah kedua-dua sarjana besar ini seimbang faktanya.

Walaupun kami (pelajar) didedahkan dengan polemik ini – masih sama – nama Shahnon dijulang tinggi berbanding nama Kassim. Saya kira masyarakat ataupun pensyarah itu sendiri tidak berani untuk meratib nama Kassim di kelas berbanding nama Shahnon.

Pernah terjadi satu adegan yang memberi kesan pada pemikiran saya mengenai Shahnon semasa awal pengajian dulu. Pensyarah membuka topik mengenai Shahnon yang mengajukan sastera sebagai seismograf kehidupan. 

Panjang lebar syarahannya berkenaan Shahnon. Tapi apabila pelajar cuba ‘meniru’ gaya Shahnon menulis, ditentang pula oleh pensyarah dengan alasan, “Awak semua perlu tulis yang baik-baik, ikutilah gaya DBP.”

Walhal nama itu jugalah yang diratib setiap kali kelas. Sama kesnya dengan Kassim. Teksnya digunakan saban semester. Karya-karyanya dibicarakan sebagai teks yang melawan dan penuh dengan ideologi sosialismenya. Tetapi apabila kami ingin ‘menjadi sepertinya’, ada halangan yang tidak seronok untuk dibicarakan di sini.

Pemikir kiri-sosialisme seperti Kassim jelas pendiriannya. Dalam bidang kesusasteraan, Kassim adalah orang yang terawal menggembur kembali pahlawan yang sebenar dalam kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. 

Kassim memuji keberpihakan Jebat terhadap kaum tertindas. Pendirian Tuah diulang baca oleh Kassim dan akhirnya menimbulkan polemik dalam menentukan siapa yang salah.

Kini ramai dalam kalangan masyarakat so-called ‘kiri’ telah beralih arah menjadikan Jebat sebagai idola. Tetapi mereka tidak membaca tesis asal yang dibangunkan oleh Kassim. 

Jika dibaca sekalipun, mereka tidak menjulang Kassim sepertimana mereka mengangkat nama Jebat. Ia bukan terjadi pada masyarakat lambak sahaja, tetapi turut terjadi pada ahli fikir, kaum muda dan juga para pelajar.

Tesis Kassim berkenaan ini banyak diselar dan diulang fikir oleh sarjana lain. Antara yang menentangnya ialah Chandra Muzaffar. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan Kassim yang menyatakan Jebat sebagai pejuang yang sebenar. 

Chandra menyatakan bahawa tindakan Jebat itu bukanlah secara sedar dia memikirkan mengenai susunan feudal. Tindakan menentang sultan dan mengamuk di dataran bukanlah satu manifestasinya untuk menentang seluruh susunan feudal.

Bahkan tesis Chandra lebih cenderung menyatakan bahawa pemberontakan Jebat sebagai contoh dia menyokong susunan feudal. 

Jebat berkhidmat kepada Hang Tuah dan taat setia kepada Sultan Melaka. Setelah Tuah dihukum mati, Jebat sangat gembira menerima jawatan barunya dan baginda sultan menyukainya. 

Panjang lebar Chandra menulis di dalam buku “Pelindung?” (1992) untuk menepis tesis Kassim.

Sekali lagi, nah, perdebatan ini menggugat kembali pemikiran orang awam yang ingin berpihak kepada Jebat ataupun Tuah.

Setiap apa yang Kassim tulis, setiap kali itulah akan dimomokkan dengan kontroversi. Begitu juga dalam bidang agama. Buku paling kontroversinya “Hadis: Satu Penilaian Semula” (1986) berkisarkan mengenai penapisan hadis-hadis yang bercanggah dengan al-Quran. 

Buku itu, secara peribadinya, saya menganggap hanya terbit pada waktu yang salah. Kassim walaupun bukan bergulat dalam bidang agama secara formal, tetapi pandangannya cukup luas untuk mencerap sesuatu bidang. 

Pentafsiran hadis olehnya itu jika dibuat pada ketika ini – zaman kebangkitan tokoh-tokoh dalam bidang hadis (yang kebanyakannya dilabel Wahabi) – saya rasa ia boleh diterima dan dibincangkan dalam keadaan damai.

Walaupun ada beberapa perkara yang tidak setuju dengan Kassim, tetapi tidaklah sampai menyindirnya seperti seorang mufti di utara menyindir ketika kematian Kassim ingin ditanam atau tidak ditanam.

Sumbangan Kassim sangatlah besar dalam arena kesusasteraan khususnya. Penelitian semula hero Melayu, susunan Hikayat Hang Tuah, transkrip Hikayat Pelayaran Abdullah, antara jasa-jasa besar yang tiada tolok bandingnya. Namanya akan kekal dalam buku-buku sastera, tetapi masyarakat hanya menggunakan teksnya dan meninggalkan ‘namanya’.

Mujur, Lestari Hikmah mempunyai inisiatif untuk menerbitkan koleksi esei Pak Kassim yang pernah dan tidak pernah diterbitkan. Banyak lagi khazanah dari tulisan-tulisan Kassim Ahmad yang masih tidak dapat kita selami.

Selain menerbitkan karya-karyanya, saya teringat kata-kata Dr Alinor Abdul Kadir yang mengajukan bahawa pengkatalogan perpustakaan peribadi seseorang tokoh itu wajib dilakukan. 

Tulisan-tulisan Kassim mungkin kini dijaga oleh warisnya, tetapi tidakkah kita penasaran untuk mengetahui apakah korpus yang terdapat di perpustakaan milik Kassim? 

Untuk membaca seseorang tokoh, bukan sekadar membaca tulisannya, tetapi membaca dan menilai apakah yang dibaca oleh tokoh tersebut. – 19 Ogos, 2022.     

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen