Jawatankuasa khas bebas darurat mesti bentang laporan segera, kata Chandra Muzaffar


Ahli sains politik Dr Chandra Muzaffar berkata laporan itu perlu dibentang selewat-lewatnya pada pertengahan Julai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2021.

JAWATANKUASA Khas Bebas Darurat harus membentangkan laporannya dalam masa yang terdekat dan mesti dibahaskan di Parlimen sebelum tempoh darurat yang ditetapkan berakhir pada 1 Ogos ini, kata ahli sains politik Dr Chandra Muzaffar.

Katanya, laporan itu perlu dibentang selewat-lewatnya pada pertengahan Julai untuk kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai langkah yang seterusnya.

Menurut Chandra, laporan jawatankuasa itu harus jadi panduan untuk menangani penularan Covid-19 dan kesan-kesannya, dan bukannya dengan menukar kerajaan sekarang.

“Pendekatan itu bukan saja adil kepada sentimen rakyat tetapi melibatkan pandangan kedua-dua dewan Parlimen.

“Ia mematuhi prosedur dan protokol sedia ada, sementara memperakui peranan eksekutif dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya, dalam satu ulasan yang dikirim kepada media.

Jawatankuasa khas bebas darurat dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa baginda mengisytiharkan darurat berkuat kuasa 11 Januari.

Jawatankuasa 19 anggota itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara Ariffin Zakaria.

Menurut Chandra, merujuk panduan daripada laporan jawatankuasa itu dan mendengar pandangan Parlimen dan rakyat adalah cara yang matang untuk menangani pandemik dan kesannya, berbanding melayan pihak berkepentingan baik dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, menukar kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bukan jalan yang sesuai biarpun pentadbirannya dianggap tidak sempurna dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau berpendapat penilaian yang adil terhadap kerajaan sekarang akan menunjukkan tiada alasan rasional untuk menukarnya sekarang.

“Dalam keadaan seperti sekarang, kita tidak menukar kerajaan di tengah penggal.

“Kesannya langkah itu akan lebih merosakkan untuk negara, terutama sekiranya kita mengambil kira gambaran besar keadaan,” katanya.

Beberapa pihak sejak minggu lalu mencadangkan agar sebuah pentadbiran baharu seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang melibatkan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang serta profesional dibentuk untuk menangani krisis Covid-19.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengemukakan pandangan sama kepada Al-Sultan Abdullah semasa mengadap baginda di Istana Negara, petang tadi.

Menurut Chandra, kebanyakan rakyat pada masa ini bimbangkan keadaan kesihatan mereka dan mahu mendapatkan vaksin segera.

Oleh itu, segenap anggota masyarakat perlu digerakkan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini, untuk Malaysia bebas daripada pandemik.

Usaha itu hanya boleh dicapai dengan semua pihak bersatu padu, tambahnya. – 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen