Kumpulan pelajar mahu kod cegah gangguan seksual dilaksana di universiti


Kesatuan pelajar turut menyeru agar wakil pelajar dibenarkan mengambil bahagian dalam penggubalan kod tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2022.

SEKUMPULAN pelajar dan beberapa kesatuan pelajar mahu Putrajaya melaksanakan kod pencegahan gangguan seksual di kampus-kampus di seluruh negara yang dikatakan sebagai masalah semakin meningkat.

New Student Movement Alliance (NESA) bersama beberapa kesatuan pelajar bersekutu menyerahkan memo kepada kementerian pengajian tinggi berhubung perkara itu.

Kesatuan pelajar meminta semua institusi pengajian tinggi dan kolej yang sudah mempunyai kod yang sama menyemak dan memperkukuh pelaksanaannya.

Kesatuan-kesatuan itu juga menyeru agar wakil pelajar dibenarkan mengambil bahagian dalam penggubalan kod tersebut.

Wakil kolej TAR Wong Yan Chi berkata gangguan seksual berlaku di institusi pengajian tinggi swasta dan awam.

“Kes-kes yang telah dilaporkan hanyalah sebahagian daripadanya,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

“Ini kerana pihak institusi tidak menangani aduan tersebut, sebaliknya mereka memilih untuk melindungi reputasi mereka dengan tidak menyelesaikan kes itu.”

Wong memberi contoh yang mana seorang pelajar di Universiti Malaya dilaporkan diganggu oleh seorang profesor di unit integriti universiti itu tetapi hanya diberi jaminan bahawa perkara itu akan ditangani.

“Selepas lebih setahun, pelajar berkenaan masih tidak mengetahui status aduan itu dan dia berhak untuk mengetahuinya. Universiti tidak secara aktif meneliti kes yang difailkan oleh pelajar.

Terdapat juga keadaan yang mana pengalaman itu sangat traumatik sehingga mangsa menderita secara psikologi dan tidak dapat bersuara kerana takut akan kesannya.

“Kebanyakan masa, apabila mangsa diganggu secara fizikal atau seksual, mereka tidak akan tahu bagaimana untuk menanganinya pada masa itu,” katanya.

Memorandum itu, kata Wong, diharapkan dapat membantu mempromosikan kod etika di institusi lain.

“Ini adalah langkah penting. Pelaku mesti tahu bahawa tindakan mereka akan membawa akibat. Pada masa yang sama, universiti mesti melaksanakannya dan juga penyertaan pelajar dalam siasatan.

Pengerusi Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) Liau Pin Chun berkata kumpulan itu membantu seorang pelajar melaporkan kes gangguan kepada polis kerana mangsa tidak mahu tampil.

“Mangsa pertama kali diganggu pada 2019. Dia tidak tampil pada masa itu kerana Covid-19 bermakna universiti beralih kepada pembelajaran dalam talian.

“Apabila dia kembali ke sekolah pada penghujung tahun lalu, mimpi ngerinya berlaku semula.

“Dia mula-mula membuat aduan kepada pihak universiti tetapi mereka bertindak terlalu perlahan dan pelaku telah tamat pengajian.”

Memorandum itu juga dibuat susulan beberapa kes gangguan seksual di kampus kolej TAR di Pulau Pinang.

Kes-kes tersebut kini dalam siasatan.

Pada 20 Julai lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang gangguan seksual melalui undian suara.

Pembentangan rang undang-undang gangguan seksual telah ditangguhkan beberapa kali sejak dua tahun lepas. Ia dibentangkan untuk bacaan pertama pada bulan Disember.

Penangguhan rang undang-undang yang kerap menyebabkan beberapa pihak, terutamanya kumpulan hak wanita, meminta kerajaan membentangkan rang undang-undang itu secepat mungkin. – 19 Ogos, 2022.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen