China bantu bina bangunan Universiti Kabul


Difahamkan, sejak sekian lama China komited mengekalkan kerjasama intensif dengan Afghanistan dalam bidang pendidikan. – Gambar Facebook, 1 Ogos, 2022.

SELEPAS melalui proses pembinaan selama lima tahun, bangunan pendidikan bercirikan moden di Universiti Kabul Afghanistan sumbangan kerajaan China akhirnya siap dibina.

Pada majlis perasmiannya pada Ahad, Duta China ke Afghanistan, Wang Yu berkata ia satu lambang kerjasama persahabatan China-Afghanistan dalam bidang pendidikan.

Difahamkan, sejak sekian lama China komited mengekalkan kerjasama intensif dengan Afghanistan dalam bidang pendidikan.

Untuk rekod, kini terdapat hampir 1,000 pelajar dari negara itu sedang mengikuti pengajian di China, manakala hampir 200 pelajar lagi menyambung pelajaran di Akademi Konfusius, Universiti Kabul.

“Kami berharap mereka (pelajar) akan memberi sumbangan terhadap kerjasama persahabatan kedua-dua negara selepas berjaya lulus dari kolej.

“Selain itu, China akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada Afghanistan termasuk memperluas kerjasama pelbagai sektor termasuk sektor pendidikan pada masa hadapan,” kata Wang.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Duta China ke negara itu, Wang Yu, pemangku Menteri Pendidikan Tinggi kerajaan sementara Afghanistan, Abdul Baqi Haqqani dan Presiden Universiti Kabul, Osama Aziz.

Abdul Baqi Haqqani berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan itu dan mengucapkan terima kasih.

Menurut beliau, Afghanistan baru bebas daripada belenggu peperangan dan menghadapi banyak masalah dalam pembangunan ekonomi serta pembinaan semula sosial.

“Pendidikan peringkat tinggi antara bidang diutamakan kerajaan sementara Afghanistan kerana kemajuan negara bergantung kepada pembangunan pendidikan.

“Kita berharap kedua-dua negara akan terus menjalankan lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan,” kata Abdul Baqi.

Sementara itu, Presiden Universiti Kabul, Osama Aziz berkata, auditorium yang dibina menerusi dana sumbangan China itu adalah dewan terbaik yang ada di Afghanistan setakat ini.

Beliau berkata, bangunan pendidikan dan auditorium baharu itu akan digunakan bagi sarjana dari pelbagai jurusan dan institusi supaya dapat memberi sumbangan bagi pembinaan negara dan kerjasama Afghanistan-China. – Bernama, 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen