Peguam Najib mohon tarik diri, Mahkamah Persekutuan keberatan benarkan


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata peguam tidak sepatutnya meninggalkan anak guam mereka selepas menerima lantikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2022.

MAHKAMAH Persekutuan keberatan membenarkan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd yang sepatutnya bermula hari ini, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Mahkamah pada Selasa menolak permohonan peguam Najib untuk menangguhkan rayuan itu sehingga tiga empat bulan atas alasan mereka baharu dilantik, dan menetapkan rayuan didengar hari ini.

Apabila mahkamah bersidang pagi ini, Hisyam sekali lagi merayu kepada panel lima hakim untuk membenarkan penangguhan. Katanya, jika mahkamah enggan, beliau tiada pilihan selain menarik diri daripada mewakili Najib.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim persekutuan berkata pihaknya sudah memberikan alasan menolak permohonan penangguhan.

Mahkamah mahu Hisyam meneruskan tugas mewakili Najib, katanya.

“Kami yakin penuh pada kemampuan anda dan anda patut teruskan,” kata Tengku Maimun, selepas mahkamah bersidang semula setelah berehat kali pertama menimbangkan permohonan Hisyam.

Ketua hakim juga berkata peguam tidak sepatutnya meninggalkan anak guam mereka selepas menerima lantikan.

Mahkamah kemudian berehat sekali lagi.

Pada 26 Julai, Najib menamatkan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman atas tujuh pertuduhan menyeleweng melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.

Shafee dan firmanya mewakili Najib sejak beliau dituduh di mahkamah pada 4 Julai 2018.

Najib kemudian melantik firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam baharunya, dengan Hisyam dari Tetuan Teh Poh Teik & Co sebagai peguam utama. Beliau dibantu dua peguam ZIST iaitu Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam.

Minggu lalu, peguam Zaid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak akan mengabaikan Najib dalam rayuan akhirnya ini. – 18 Ogos, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen