Parti Sabah, Sarawak bakal penentu PRU15, kata MCA


Khoo Gek San

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata BN mampu rampas Putrajaya dengan bantuan parti dari Sarawak dan Sabah dalam PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 16 Ogos, 2022.

HASRAT Barisan Nasional (BN) merampas kembali Putrajaya memerlukan kerjasama parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain mengekalkan sokongan pengundi tradisionalnya di semenanjung dan Malaysia Timur, kata setiausaha agung MCA.

Chong Sin Woon berkata berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN menang 79 kerusi dengan Umno sahaja menguasai 54 kerusi, kecuali di Sarawak.

“Walaupun sentimen kuat terhadap BN ketika itu, Umno masih tetap parti yang menang kerusi terbanyak,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

“Jika Umno kekalkan 54 atau tambah beberapa kerusi lagi bersama MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), kerusi di Malaysia Barat akan cukup.”

Chong bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kerjasama dengan parti di Sabah dan Sarawak.

“BN tidak boleh bentuk kerajaan secara bersendirian di semenanjung, parti dari Malaysia Timur akan menjadi penentu,” katanya.

Chong berkata BN mempunyai peluang yang baik kerana Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR telah hilang daya tarikan selepas PRU14.

PKR hanya menang dua kerusi pada pilihan raya negeri Sabah, satu di Johor dan tidak menang langsung di Melaka.

“Selepas PRU14, prestasi PKR kurang memuaskan dan mereka tidak dapat sokongan Melayu. Jelas sekali mereka tidak lagi menarik.”

Prestasi PKR tidak memuaskan

Ketika ditanya sama ada Rafizi Ramli, timbalan presiden baharu PKR mampu mengangkat parti itu semula, Chong berkata idea-idea mereka masih mengenai serangan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak malah tidak ada idea baharu.

“Namun, kita tidak boleh pandang rendah Rafizi. Antara pemimpin PKR beliau berfikiran waras dan tidak akan membuta tuli mengikut PH atau mendesak Anwar Ibrahim sebagai PM. Beliau juga tahu pendekatan khemah besar tidak akan berjaya.”

Chong berkata Rafizi juga pragmatik dan tidak akan pandang rendah lawannya.

Mengulas mengenai gabungan baharu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad iaitu Gerakan Tanah Air yang mahu bertanding di 120 kerusi Parlimen, Chong berkata kumpulan itu hanya mahu melawan Umno.

“PRU nanti akan sangat berbeza. Slogan sahaja tidak cukup,” tambahnya. – 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen