Najib harap rayuan terakhirnya dapat tunjuk kebenaran


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak dalam sidang media petang ini berkata beliau harap rayuan terakhirnya berhubung kes rasuah SRC International akan dapat tunjukkan kebenaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2022.

NAJIB Razak terkejut dan amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan beliau mengemukakan bukti baharu dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu yakin hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada konflik kepentingan dalam kes SRC International.

“Saya percaya bukti tambahan akan jelas menunjukkan yang Nazlan sangat berkonflik dan beliau sangat tahu transaksi 1MDB dan SRC.

“Oleh itu, beliau (Nazlan) ada pengetahuan peribadi yang mendalam mengenai kedua-dua entiti ini,” katanya di Putrajaya selepas tamat prosiding mahkamah hari ini.

Najib berkata beliau secara peribadi percaya siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuktikan faktanya itu.

“Malangnya kami tidak dapat buat demikian. Tetapi saya harap dalam rayuan terakhir kami akan dapat tunjukkan kebenaran perkara itu.”

Terdahulu pagi ini Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata pihak pembelaan gagal menunjukkan kaitan bukti baharu terhadap pertuduhan bekas perdana menteri itu.

“Seolah-olah peranan hakim Nazlan sebelum ini satu rahsia yang penglibatannya itu mengejutkan.

“Kami juga dapati tiada pertalian kerja hakim Nazlan sebelum ini di bank dan pertuduhan terhadap pemohon yang mencadangkan konflik kepentingan.

“Semua usul ditolak,” katanya ketika menyampaikan penghakiman panel lima hakim pagi ini.

Petang ini Mahkamah Persekutuan turut menolak permohonan peguam baharu Najib untuk menangguhkan perbicaraan rayuan akhir bekas perdana menteri atas alasan baharu dilantik dan mahu meneliti kes dengan lanjut.

Tengku Maimun berkata mereka sepatutnya sudah bersedia kerana tarikh pendengaran rayuan sudah ditetapkan semasa pengurusan kes.

“Peguam tidak boleh kata mereka tidak bersedia. Kami mendapati alasan untuk penangguhan tidak munasabah,” katanya.

Tengku Maimun menetapkan rayuan Najib didengar bermula Khamis ini.

Peguam Najib Hisyam Teh Poh Teik juga turut kecewa dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Saya tak tahu nak cakap apa, saya juga terkejut. Malah permohonan penangguhan tidak dilayan.

“Kami beri hujah kukuh. Saya fikir mahkamah akan bersimpati dan guna budi bicara. Kami rasa ada asas untuk mereka guna budi bicara mereka untuk memihak kepada kami.

“Tetapi malangnya ia tidak begitu. Jadi, kami akan balik dan tengok semula langkah yang akan kami ambil sebelum kembali pada pagi Khamis.”

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan cuci duit, selain penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, dalam kes salah guna jawatan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben, manakala pendakwaan diketuai oleh pendakwa raya V. Sithambaram, yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan. – 16 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen