Tiada penangguhan kes, rayuan Najib didengar Khamis ini, kata Mahkamah Persekutuan


Bekas perdana menteri Najib Razak ketika tiba di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari,16 Ogos, 2022.

MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan peguam baharu Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan rayuan akhir bekas perdana atas alasan baharu dilantik dan mahu meneliti kes dengan lanjut.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim berkata mereka sepatutnya sudah bersedia kerana tarikh pendengaran rayuan sudah ditetapkan semasa pengurusan kes.

“Peguam tidak boleh kata mereka tidak bersedia. Kami mendapati alasan untuk penangguhan tidak munasabah,” katanya, ketika mahkamah bersidang semula petang ini.

Dalam menolak permohonan penangguhan itu, Tengku Maimun merujuk Kaedah 6 Kaedah-Kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978 yang menyebut peguam tidak harus menerima kes sekiranya mereka tidak dapat hadir atau mewakili anak guam pada hari yang ditetapkan.

Tengku Maimun menetapkan rayuan Najib didengar bermula Khamis ini.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan rayuan didengar antara 15 hingga 26 Ogos.

Tarikh berkenaan ditetapkan sejak hujung April 2022.

Peguam bela Hisyam Teh Poh Teik yang dilantik pada hujung Julai hari ini memohon penangguhan selama “tiga ke empat bulan” kerana mereka baru dilantik tidak sampai sebulan.

Beliau memberi alasan rekod rayuan panjang lebar dan memerlukan masa yang cukup untuk menyediakan hujahan kes bagi Najib.

Hisyam juga berkata permintaannya dibuat dengan suci hati, ketika banyak pihak menganggap Najib sengaja mencari helah untuk menangguhkan kesnya.

Menurut peguam itu, kes yang dihadapi oleh Najib bukan kes biasa. Katanya, ada aspek undang-undang yang kukuh untuk dihujahkan oleh pihaknya.

Hisyam meminta pendengaran rayuan ditangguhkan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes, yang melibatkan hakim bicara iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 16 Ogos, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen