LEBIH 40 terbunuh dalam kebakaran di sebuah gereja Kristian Coptik di pinggir ibu kota Mesir, kata pegawai gereja.
Punca kebakaran di gereja Abu Sifine yang terletak di barat laut Kaherah, daerah kelas pekerja Imbaba itu tidak dapat dikenal pasti.
Presiden Abdel Fattah al-Sisi mengisytiharkan di laman Facebooknya: “Saya menggerakkan semua perkhidmatan negara untuk memastikan semua langkah diambil.”
Pasukan Bomba kemudian berkata kebakaran berjaya dikawal.
Gereja Coptik Mesir dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya melaporkan “41 maut dan 14 cedera” memetik “sumber di Kementerian Kesihatan”.
Pejabat pendakwa raya berkata ia membuka siasatan dan menghantar satu pasukan ke tempat kejadian untuk mengenal pasti punca kebakaran.
Copts ialah komuniti Kristian terbesar di Timur Tengah, membentuk sekurang-kurangnya 10 juta daripada 103 juta penduduk Mesir.
Minoriti itu mengalami serangan dan sering mengadu tentang diskriminasi di negara majoriti Islam khususnya di utara Afrika.
Coptik berdepan serangan pejuang Islam, terutamanya selepas Sisi menggulingkan bekas presiden Mohamed Morsi pada 2013, dengan gereja, sekolah dan rumah dibakar.
Copts merasakan mereka diketepikan daripada jawatan utama negeri dan kesal dengan undang-undang yang menyekat pembinaan gereja berbanding masjid. – AFP, 14 Ogos, 2022.
Komen