Dialog isu kalimah Allah Isnin ini, kata KDN


Noel Achariam

Dialog akan dibuat dalam dua sesi memandangkan banyak pihak terlibat, kata jurucakap kementerian itu. – Gambar EPA, 11 April, 2021.

KEMENTERIAN Dalam Negeri dijangka memulakan sesi dialog dengan badan-badan agama mengenai isu ‘Allah’ pada Isnin.

Jurucakap kementerian memberitahu The Malaysian Insight, dialog dengan pelbagai individu dan organisasi agama akan dibuat secara berperingkat.

“Dialog akan dibuat dalam dua sesi memandangkan banyak pihak terlibat.”

Jurucakap itu berkata setakat ini 25 organisasi dan individu Muslim dan 15 Kristian telah bersetuju untuk menghadiri dialog tersebut.

Dialog dengan cendekiawan Muslim akan berlangsung pada Isnin dan selepas itu pada 15 April akan diadakan sesi lain dengan para pemimpin Kristian di Putrajaya.

Pada 19 Mac, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata mereka akan adakan sesi dialog dengan para sarjana Islam dan Kristian bagi menyelesaikan perselisihan mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’.

Katanya, pertemuan antara badan-badan agama itu sangat penting supaya perkara itu dapat diselesaikan secara damai.

“Saya akan jemput para sarjana Islam dan ahli agama serta mereka yang dari agama Kristian untuk duduk bersama supaya kita semua dapat selesaikan isu ini.

“Saya percaya ia perlu diselesaikan sekarang supaya tidak diperpanjangkan dan kemudian jadi masalah di masa depan,” katanya.

Namun, Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) berkata sangat tidak wajar untuk berdialog dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai isu “Allah” memandangkan kes ini berada di Mahkamah Rayuan.

Presiden CCM Uskup Agung Melter Jiki Tais berkata kementerian merupakan salah satu perayu dalam rayuan ini, yang difailkan kerajaan setelah keputusan mahkamah tinggi membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”.

Pada 10 Mac, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut Kristian Sarawak Jill Ireland Lawrence Bill boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam mengamalkan ibadat agamanya.

Hakim Nor Bee Ariffin juga berkata arahan Kementerian Dalam Negeri tahun 1986 yang melarang penganut Kristian menggunakan kata itu, yang bermaksud “Tuhan” dalam Bahasa Melayu, serta kata-kata lain adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Keputusan itu menggemparkan parti-parti politik Muslim dan kumpulan masyarakat sivil di Semenanjung, sementara 65 kumpulan lain mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menarik balik rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 15 Mac, Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa berkata Putrajaya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi itu. – 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen