Perhalusi dasar cadangan RUU sumbangan politik, kata Wan Junaidi


Desmond Davidson

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) telah mengarahkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) memperhalusi dasar bagi cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dalam mesyuarat bersama agensi kerajaan baru-baru ini.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau turut mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata draf pentadbiran itu perlu disediakan “secepat mungkin” bagi membolehkan sesi penglibatan diadakan dengan semua pihak berkepentingan mengikut garis masa yang akan disediakan oleh GIACC.

Wan Junaidi berkata antara perkara dasar penting yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah penubuhan entiti kawal selia untuk sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan, serta penalti bagi kesalahan di bawah undang-undang yang dicadangkan ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut terlibat dalam mesyuarat itu.

Beliau berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Suruhanjaya Syarikat juga telah diarahkan untuk melihat ke arah penyelarasan undang-undang yang dicadangkan dengan undang-undang sedia ada di bawahnya.

Wan Junaidi berkata analisis perbandingan perlu dijalankan terhadap undang-undang yang digunakan di negara lain.

Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, dan agar undang-undang berkuat kuasa dengan segera, beliau berkata memorandum kabinet dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri September ini.

Katanya, ini bagi memberi laluan kepada RUU yang dicadangkan untuk dibentangkan di Parlimen pada Oktober. – 13 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen