Perikatan sambut baik keputusan tangguh RUU anti lompat parti


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan Putrajaya sebagai bertanggungjawab dan bijak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

PERIKATAN Nasional menyokong keputusan Putrajaya untuk menangguhkan pembentangan rang undang-undang anti-lompat parti yang dijadualkan pada 11 April.

Setiausaha Agungnya Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan Putrajaya sebagai bertanggungjawab dan bijak.

“Satu sesi libat urus berhubung cadangan Pindaan Rang Undang- Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan anti lompat parti telah diadakan pada 5 April 2022 lalu antara menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bersama Parti Perikatan Nasional. Perikatan secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat disebalik cadangan pindaan perlembagaan persekutuan berkaitan anti lompat parti.

“Bagi memastikan pindaan perlembagaan tersebut dapat mencapai matlamatnya, definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa “lompat” dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan kelak.

“Perikatan Nasional mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda perlembagaan persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April 2022. Keputusan itu adalah satu keputusan Kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menyokong keputusan Putrajaya menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu dengan mengatakan tidak perlu tergesa-gesa dalam isu itu.

“Memang undang-undang ini perlu kepada penelitian. Tak perlu gopoh. PAS pun tidak tergopoh-gapah dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas kuliahnya di Masjid Rusila, Marang.

Menteri undang- undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata sebab penangguhan itu ialah definisi “lompat parti” memerlukan lebih banyak kajian.

Beliau berkata sidang khas Parlimen itu akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU itu nanti.

Wan Junaidi melahirkan kekecewaan terhadap keputusan kabinet untuk menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu buat kali kedua, berkata beliau telah berusaha untuk rang undang-undang itu selama lapan bulan.

Sebelum pengumuman Wan Junaidi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kepada pembangkang bahawa Parlimen akan bersidang untuk membahaskan rang undang-undang itu pada 11 April. – 8 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen