Wan Junaidi kecewa pembentangan RUU anti lompat parti ditangguh


Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau kecewa dengan keputusan Kabinet menangguhkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2022.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar kecewa dengan keputusan Kabinet menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti 

Beliau berkata kekecewaan itu berpunca daripada keputusan Kabinet.

“Saya ahli Kabinet, kena akur dengan (keputusan) Kabinet, perasaan peribadi saya tak penting.

“Memang ‘frust’lah selepas kerja lapan bulan ada sedikit ‘hitch’ itu, memang terasa tetapi semua sudah terima hakikat Wan Junaidi sudah tidak berasa syok,” katanya selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini.

Wan Junaidi bagaimanapun menafikan terdapat sebarang “sabotaj politik” dalam menangguhkan pembentangan RUU berkenaan. 

Beliau berkata pihak tertentu dalam kerajaan tidak bersetuju dengan kandungan RUU yang akan dibentangkan pada 11 April ini.

Awal hari ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegur Putrajaya kerana menangguhkan RUU itu dengan berkata kerajaan tidak mempunyai kesungguhan dan keazaman politik untuk berbuat demikian.

Beliau berkata langkah kerajaan itu mengecewakan rakyat Malaysia yang menunggu undang-undang itu dilaksanakan segera.

Katanya, ini kerana mandat rakyat hilang apabila pemimpin yang mereka pilih bertukar parti.

“Umno ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti  apabila terdapat ahli Parlimennya yang melompat parti apabila Barisan Nasional (BN) tewas (Pilihan Raya Umum ke-14).

“Malah ada juga meskipun masih dalam BN ketika itu bernada musuh politik Umno dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti,” tulisnya di Facebook hari ini.

Zahid berkata penangguhan itu juga merupakan tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan.

“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini,” katanya.

Wan Junaidi semalam berkata sebab penangguhan itu ialah definisi “lompat parti” memerlukan lebih banyak kajian.

Beliau berkata sidang khas Parlimen itu akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU itu nanti. – 7 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen