Program anti-LGBT kerajaan langgar hak asasi manusia, kata kumpulan


Ravin Palanisamy

Menurut laporan bersama oleh Justice for Sisters dan Human Rights Watch mendedahkan kesan kesihatan mental terhadap golongan LGBT, di mana ada yang mempunyai idea untuk membunuh diri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos, 2022.

PROGRAM disokong kerajaan untuk memulihkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada fitrah asal manusia didakwa sebagai melanggar hak asasi manusia, kata kumpulan persatuan sivil.

Pengasas bersama Justice for Sisters, Thilaga Sulathireh berkata program dan diskriminasi sebegini memberi kesan kepada kehidupan orang ramai, mendakwa ia boleh membuatkan golongan ini cenderung untuk bunuh diri.

“Banyak kali, orang fikir undang-undang (untuk LGBT) di Malaysia tidak beri kesan sebab tidak digunakan untuk mengganggu orang setiap hari. Tetapi laporan ini sebenarnya menunjukkan amalan penjenayahan selain meningkatkan sentimen anti-LGBT serta bagaimana ia beri kesan kepada kehidupan orang ramai,” katanya selepas mendedahkan laporan 71 muka surat bertajuk “I Don’t Want to Change Myself: Anti-LGBT Conversion Practices, Discrimination and Violence in Malaysia”.

Katanya laporan itu menyerlahkan kesan kesihatan mental yang luar biasa terhadap golongan LGBT, di mana ada yang mempunyai idea untuk membunuh diri.

“Bagi kami, sebagai kumpulan hak asasi manusia, amalan menjenayahkan dan memulihkan (kembali seksualiti) sudah tentu tidak konsisten dengan hak asasi manusia.

“Ia melanggar hak asasi untuk kesaksamaan dan tanpa diskriminasi, ia melanggar privasi kami, melanggar autonomi badan kami, dan banyak lagi hak lain,” tambahnya.

Laporan yang diterbitkan secara bersama oleh Justice for Sisters dan Human Rights Watch itu mendokumentasikan bagaimana pegawai kerajaan telah memupuk sikap bermusuhan terhadap LGBT dan orang berlainan jantina, menghadapi diskriminasi dan hukuman kerana orientasi seksual atau identiti jantina mereka.

Kumpulan itu menemubual 73 orang LGBT di Malaysia antara 2018 dan 2021, termasuk orang yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, dan Kedah, bersama-sama wartawan, pengamal hak asasi manusia, peguam dan sumber lain.

Thilaga, yang merupakan penyokong hak seksualiti, berkata berdasarkan dokumentasi dan penyelidikan, orang yang terdedah kepada program yang dibiayai oleh kerajaan ialah golongan B40, LGBT yang hidup dengan HIV/AIDS, kanak-kanak sekolah dan banduan.

“Malah ‘pencegahan’ berlaku di sekolah, di mana sesetengah pelajar yang dianggap aneh atau tidak mengikut jantina terpaksa menjalani sesi ‘kaunseling’ wajib,” katanya.

Laporan itu menyebut kem sedemikian dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri. – 11 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen